Dalam ajaran Islam hukum-hakamnya, arahan dan larangannya, kejadian-kejadian yang terjadi, perkara-perkara sam‘iyat yang kita dengar melalui Al Quran atau Hadis ada yang berbentuk ta’abbudi dan ada yang taa’quli.

Ta’abbudi adalah perintah membuat atau meninggalkannya, dan disuruh taat menerimanya, mempercayainya dan meyakininya. Perkara itu tidak dapat hendak dilogikkan atau susah hendak diterima oleh akal seperti perkara-perkara kerohanian dan soal-soal Akhirat. Walaupun tidak boleh diterima akal, kita terpaksa menerima dan meyakininya, kita diperintah beriman sahaja.

Kalau kita menolak kerana akal tidak boleh menerimanya, maka rosaklah iman kita. Bila rosak iman maka seseorang itu bukan seorang mukmin bahkan telah keluar dari Islam. Di antara contoh-contohnya seperti peristiwa alam kubur, Mahsyar, Syurga, Neraka, peristiwa Israk Mikraj, malaikat, sembahyang (ada rukuk, sujud, berdiri menghadap kiblat), alam jin, Arasy, Kursi, Qadhak dan Qadar, mengerjakan haji (diperintahkan tawaf mengelilingi Kaabah), perkara mukjizat, karamah, membaca ayat Al Quran atau selawat murah rezeki atau menyembuhkan penyakit, terang hati, jauh daripada bala bencana dan lain-lain perkara lagi.

Perkara yang taa’quli ialah arahan buat atau meninggalkan yang boleh diterima oleh akal atau logik. Bila difikirkan perintah suruh dan larangan Allah itu memang munasabah dan terasa patutnya. Akal kita boleh setuju dan boleh menerima dan meyakininya. Oleh itu mudah kita beriman dengannya. Antara contohnya ialah seperti dilarang minum arak, berzina, berjudi, membunuh, berbohong, menghina, menipu, rasuah, mendedah aurat. Disuruh menuntut ilmu, berjuang, berniaga, bersatu, bertolong bantu, pemurah, bekerjasama, bernegara dan lain-lain lagi.

Di antara perkara yang tergolong di dalam perkara yang ta’abbudi iaitu perkara yang tidak boleh dilogikkan hanya wajib percaya dan beriman kepadanya dan tidak boleh dirasionalkan atau difikirkan ialah ‘iman dan taqwa asas bantuan dari Allah yang Maha Berkuasa’.

Bantuan yang dimaksudkan itu terdiri daripada bermacam-macam bentuk pula seperti berjaya di bidang perjuangan, berjaya menyatukan pengikut atau umat, berjaya menegakkan ekonomi, berjaya menegakkan pendidikan dan pelajaran, berjaya menolak musuh dan tipu dayanya, berjaya menegakkan rumah tangga yang berkasih sayang dan harmoni, berjaya mendidik hingga anak-anak taat dengan ibu bapa, murid-murid hormat dengan guru, isteri-isteri taat dengan suami, pengikut-pengikut taat dengan pemimpin, berdakwah mudah orang terima, rakyat taat dengan ketua negara, mudah menumpaskan gejala-gejala masyarakat, terjauh daripada bala bencana daripada sebab usaha manusia mahupun dari bencana alam, jauh dari penyakit, berjaya menegakkan keamanan dan keharmonian masyarakat dan lain-lain lagi.

Bantuan Allah kepada orang yang beriman dan bertaqwa ini banyak disebut dalam Al Quran, antaranya:

“Allah adalah pembela orang-orang yang bertaqwa.” (Jasiyah: 19)

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya keluar, dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga.” (At Talaq: 2-3)

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan memudahkan segala urusannya.” (At Talaq: 4)

“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.” (At Talaq: 5)

“Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)

“Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat daripada langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)

“Bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282)

“Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)

“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” (Ali Imran: 120)

ORANG BERTAQWA DI DALAM PIMPINAN ALLAH

Orang yang bertaqwa sentiasa sahaja dipimpin Allah
Justeru mereka adalah kekasih-Nya
Sekali-sekala disusahkan-Nya untuk naik pangkat
Hati mereka tetap redha
Sekali-sekala dimewahkan kehidupannya
untuk dapat pahala syukur
Ya, dia tetap bersyukur
Dia tidak tersungkur jatuh oleh kemewahannya

Adakalanya dia ditekan oleh musuh-musuhnya
Mungkin dizalimi, dengan berbagai-bagai caranya
Agar dia bertambah berpaut dengan Tuhannya
Supaya dia merasakan Tuhan dekat dengannya
Rasa kehambaannya bertambah-tambah menebal di jiwanya
Dia juga tidak lekang dari pujian dan cacian
Memang Allah lakukan demikian rupa
Agar dia merasa malu dengan Tuhan dari pujian
Rasa tidak layak menerimanya
Kerana itu milik Tuhan, bukan miliknya
Dengan cacian menyedarkan
dirinya memanglah demikian
Hamba patut menerima kejian
Kerana hamba mempunyai kelemahan dan kesalahan

Dia berusaha membaiki dirinya
Sesiapa yang mencacinya dan menghinanya didoakannya
Moga-moga Allah ampunkan dosa-dosanya
dosa-dosa kita pun diampun
Rasa berdendam dan bertindak tidak dilakukannya
Kalaupun ada rasa hendak marah dia boleh membendungnya
Begitulah orang yang bertaqwa
Dia sentiasa di dalam pimpinan Tuhan-Nya

Kisah menarik di sini...

  • Bantuan allah (4)
  • doa bantuan dari allah (4)
  • amal taabbudi (2)
  • bantuan dari allah (2)
  • cerita bantuan dari allaj (1)
  • perkara ta\abbudi (1)
  • pertolongan dari allah (1)
  • quran kampung beriman berbohong fusta (1)
  • taaquli (1)