Di antara tugas terpenting ilmu tasawuf itu ialah untuk menghidupkan hati. Bila hati hidup, ia dapat memancarkan cahaya rohaniahnya kepada akal dan kepada seluruh anggota. Sehingga manusia mampu untuk menyuluh tindak-tanduk lahir dan batin mereka. Kemudian setiap kerja, setiap amalan, setiap tindakan yang dibuat itu akan dihubungkan dengan Allah. Dia sentiasa ada contact dengan Allah.

Setiap manusia sesudah mempunyai hati sebegini, dalam dia bertindak, beramal, berbuat dan bekerja, dia dapat kekalkan terus rasa kehambaan pada Allah. Tidak pernah terputus. Rasa kehambaan itu tetap subur dan menebal di alam rasanya (zauq). Di waktu itu bila dia berperanan di bumi, hatinya dapat berhubung dengan Allah. Waktu dia mentadbir bumi, kakinya saja di bumi tetapi hatinya di Akhirat. Hatinya penuh rindu atau tenggelam dalam cinta Allah. Atau hati terbakar, gementar kerana takutkan azab Allah. Dia rasa dirinya hamba kepada Allah. Dia juga rasa dirinya khalifah-Nya. Di waktu itu barulah manusia dapat berperanan seperti yang Allah kehendaki.

Untuk dapat hati begini, maka setiap amal, setiap kerja dan setiap tindakan kita itu mestilah ada roh.Yakni hati sentiasa ada contact dengan Allah.

APA ITU ROH AMAL?

Islam itu ada lahir, ada batin. Ada jasad, ada roh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit, ada isi. Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam atau intipati (lubbun) Islam itulah yang dikatakan ruhul amal. Yakni roh dalam kita bekerja, roh dalam kita bertindak, roh dalam kita melaksanakan sesuatu, roh dalam kita berjuang dan berjihad, roh dalam sebarang usaha ikhtiar kita, walau dalam apa bidang sekalipun seperti bidang ibadah, bidang dakwah, ekonomi, politik, pembangunan, pertanian, kesihatan dan lain-lain.

Roh amal inilah yang hendak dijaga sungguh-sungguh ke-rana ia merupakan nyawa dan penentu amal lahir. Syariat lahir yakni kerja, usaha dan tindakan yang dapat dilihat dengan mata lahir. Roh amal itulah tempat pandangan Allah kerana ia merupakan intipati amal Islam (lubbun) atau intipati ibadah. Roh amal inilah yang Allah nilai. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul dalam sabdanya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

Ertinya, amalan lahir yang kita buat seperti rukuk, sujud, berdiri dan bacaan-bacaan dalam sembahyang, semuanya Allah tidak pandang kalau rohnya tidak ada. Begitu juga percakapan kita yang didengar oleh manusia, perjuangan kita dengan menggunakan tangan dan kaki, pergi ke sana dan ke mari, bermacam-macam bentuk pembangunan yang kita hasilkan dalam bidang ekonomi, pertanian dan sebagainya, itu semua tidak ada nilaian di sisi Allah kalau rohnya tidak ada.

Jadi Allah tidak melihat dan memandang gambaran lahir tetapi Allah melihat hati kita. Roh usaha kita itu yang Allah pandang, di samping usaha itu perlu dibuat. Roh amal itu yang dipandang oleh Allah, di samping amal itu perlu dibuat. Roh jihad itulah yang Allah nilai, di samping jihad itu perlu dilaksanakan. Roh puasa itulah yang Allah beri markah, di samping puasa itu perlu dibuat. Begitulah seterusnya. Jadi dalam kita beramal, kedua-duanya yakni lahir dan batin mesti kita buat, tetapi penilaian Allah pada yang batin.

Islam ada rangka, ada nyawa. Kedua-duanya perlu tetapi nyawa itulah yang dinilai oleh Allah. Jadi kalau usaha kita, ibadah kita, pembangunan kita, jihad kita atau apa sahaja yang kita cetuskan, rohnya tidak ada, ia samalah seperti manusia yang sudah tidak ada nyawa. Ertinya sudah dianggap bangkai. Manusia, walau bagaimana cantik sekalipun, kalau sudah tiada nyawa maka dia akan ditanam, tidak perlu disimpan lagi. Orang hormat kepada ratu cantik kerana rohnya atau kerana nyawanya masih ada. Bila tidak ada roh, tidak ada siapa pun minat.

Justeru itu, kita beribadah mesti berserta roh. Kita berdakwah mesti berserta roh. Kita berjihad mesti berserta roh. Begitu juga kita bermusafir, bergaul, berilmu, berpadu, berdoa, berzikir, berekonomi, membangunkan pertanian, membangunkan kesihatan, berkumpul dan sebagainya semuanya mesti berserta roh. Hinggakan diam kita pun mesti ada roh. Jadi roh amal perlu kita jaga kerana ia merupakan nilaian Allah SWT, di samping soalsoal lahir wajib juga dilaksanakan dan ia tidak boleh diabaikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh amal atau nyawa pada amal, pada usaha kita, pada perbuatan kita atau pada ibadah kita itu? Sebagai contoh, berikut adalah beberapa amalan yang boleh kita nilai sama ada wujud atau tidak rohnya.

ROH SEMBAHYANG

Kalau kita bersembahyang, roh sembahyang itu antaranya ialah:

. Khusyuk

. Faham apa yang kita baca

. Hati merasa hina dan kerdil di hadapan Allah serta merasakan kebesaran dan kehebatanAllah SWT.

Bila ada roh yang begitu rupa dalam sembahyang, baru boleh dikatakan kita bersembahyang. Barulah amal sembahyang itu Allah terima. Kalau tidak ada, maka sujud kita, berdiri kita dan kefasihan lidah kita membaca ayat-ayat tiada erti apa-apa. Duduk berdiri kita dalam sembahyang sudah tiada erti apa-apa kalau roh sembahyang atau nyawa sembahyang kita sudah tidak ada. Sembahyang yang sudah tidak ada roh adalah ‘sembahyang bangkai’.

ROH BERDAKWAH

Berdakwah adalah kita bercakap, menyampaikan risalah, buku, majalah dan sebagainya. Bagaimanakah yang dikatakan dakwah yang ada roh atau dakwah yang ada nyawa itu? Antaranya ialah:

– Bilamana setiap pendakwah itu merasa apa yang dia buat itu satu tanggungjawab daripada Allah SWT, bukan daripada dirinya dan bukan tanggungjawab daripada jemaah; jemaah itu cuma sebagai landasan untuk dia berjuang, dia seolah-olah mewakili Allah. Ibarat kita mewakili raja atau perdana menteri atau menteri, bolehkah kita bersenang-senang? Oleh itu dalam berdakwah kita patut merasa kita mewakili Allah di dunia ini untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada umat manusia. Inilah yang dikatakan mesti ada rasa tanggungjawab dalam soal dakwah kerana kita diperintahkan oleh Allah SWT supaya berdakwah.

– Kita berdakwah membawa hati yang takut kepada Allah. Takut-takut tersilap menyampaikan atau tersilap menilai hukum. Sebab kadang-kadang apa yang kita sampaikan dan hukum yang kita beri dalam berdakwah itu didengar oleh ribuan orang. Mereka akan berkeyakinan atau berpegang mengikut sebagaimana yang kita ucapkan atau sampaikan. Kalau kita tersilap, bukan senang kita hendak berjumpa setiap orang untuk membetulkan kesilapan kita itu. Kalau apa yang kita sampaikan itu tidak tepat sebagaimana yang Allah dan Rasul perintahkan, bukan sahaja kita terpaksa bertanggungjawab di dunia tetapi juga di Akhirat kelak. Inilah yang dimaksudkan sewaktu kita berdakwah itu mesti ada rasa takut dalam hati. Takut-takut dalam kita berdakwah itu kita tersalah dan tersilap.

– Takut itu dalam hati, bukan pada telinga, bukan pada lisan. Sebab itulah kalau kita berdakwah, kita kena bawa hati sama. Jangan hanya membawa lisan atau membawa cakap sahaja tanpa membawa hati. Agar kita terjauh daripada sifat ujub, riyak, sombong, rasa marah dan lain-lain sifat mazmumah lagi.

– Dalam berdakwah itu, kalaulah misalnya dakwah kita orang ramai terima hingga mendorong mereka membuat perubahan, kita rasa syukur kepada Allah SWT. Itu adalah kuasa dan nikmat dari-Nya. Rasa syukur itu dirasai oleh hati, bukan mulut, bukan telinga. Jadi kita mesti rasa Tuhan yang membantu bila dakwah kita diterima orang. Itulah di antara roh dalam kita berdakwah.

– Kita berdakwah itu bukan kerana hobi. Bukan macam kita memancing ikan atau kita memikat burung ataupun main catur ataupun jogging. Itu semua adalah hobi. Jangan kita rasa berdakwah itu sebagai satu hobi tetapi hendaklah kita rasakan ia satu tanggungjawab atau kewajipan yang Allah pikulkan kepada kita.

Kalau roh dakwah ini sudah tidak dijaga walau bagaimana pandai dan fasih kita berdakwah dan orang senang dengan apa yang kita sampaikan, tetapi Allah tidak senang. Orang ramai redha tetapi Allah tidak redha kerana roh dakwah sudah tidak ada di situ. Kita hanya membawa rangkanya semata-mata sedangkan rohnya sudah tiada. Ertinya kita membawa ‘dakwah bangkai’.

ROH JIHAD

Jihad ialah gerak diri kita, gerak kaki kita, gerak tangan kita, pergi ke sana sini memerah otak dan tenaga fizikal untuk memikirkan bagaimana hendak menegakkan hukum-hakam Allah dalam kehidupan kita. Memerah tenaga lahir dan batin kita untuk mendaulatkan Islam yakni agar hukum-hakam Allah itu mendapat tempat di tengah masyarakat. Ini semua jasad lahir atau rangka pada jihad itu. Bagaimanakah roh atau batinnya?

Di antara roh jihad ialah:

. Hati mesti dibawa sama dalam berjihad. Hati mesti merasa jihad ini satu tanggungjawab atau satu kewajipan yang telah Allah pikulkan kepada kita. Ertinya kita berjihad bagi pihak Allah, bukan bagi pihak diri kita dan bukan bagi pihak jemaah kita. Jemaah itu hanya sebagai landasan untuk memudahkan kita berjuang dan berjihad di tengah masyarakat.

. Niat itu kerja hati atau peranan batin. Niat jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah yakni hukum Allah yang lima itu. Yang wajib dan yang sunat hendak kita tegakkan kerananya Allah tidak tolong. Tidak boleh salahkan itu dan ini. Salahkan diri sendiri. Ia tentu berlaku lantaran dosa kita hingga kita terhijab dari bantuan Allah. Oleh itu, setiap kali kita menemui kegagalan dalam berjuang, hendaklah cepat-cepat ingat kembali dosa-dosa kita dan minta ampun kepada Allah. Dosa itulah yang menghijab bantuan daripada-Nya.

ROH BERMUSAFIR

Bagaimana pula roh amal dalam bersafar, bermusafir, berekspedisi atau mengembara? Di antara rohnya ialah:

. Sentiasa peka dengan apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar. Apa saja yang kita lihat dan yang kita dengar mestilah diambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan sempadan.

. Terasa kebesaran Allah bilamana melihat alam atau melihat pemandangan. Dalam safar (pemusafiran) itu, hati terasa dilihat oleh Allah SWT. Kalau dalam safar hati tidak terasa dilihat oleh Allah, itulah kadang-kadang mata kita jadi mata keranjang. Macam-macam benda yang bukan-bukan yang kita lihat nanti. Oleh itu di dalam safar kita mesti bawa hati sama iaitu terasa dilihat oleh Allah SWT. Firman Allah: “Dan Dia (Allah) sentiasa bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al Hadid: 4)  Maksudnya di mana saja kita berada, Allah Maha Melihat, bukan saja yang lahir malah sampai ke lubuk batin kita.

– Apabila kita melihat orang buat maksiat, hendaklah masukkan ke dalam hati kita rasa insaf dan syukur yang mana Allah telah selamatkan diri kita daripada melakukannya. Di samping mengharapkan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada mereka agar mereka bertaubat.

– Jika kita lihat kebajikan dan kebaikan, hati hendaklah terasa ingin untuk berbuat dan menirunya. Kalaupun belum berkesempatan, hati setidak-tidaknya hendaklah bercita-cita atau pasang niat untuk berbuat yang sama. Hendaklah kita sensitif dengan perbuatan itu dan terbitkan keinginan di dalam hati untuk menirunya pula.

– Apabila kita melihat orang yang dalam kesusahan atau mendapat kemalangan, hati rasa simpati dan rasa sedih walaupun tidak dapat memberi bantuan. Jangan rasa gembira dengan kesusahan orang lain.

– Dalam kita bergaul sesama manusia, kita merendah diri walaupun kita ini orang pandai dan pintar atau mempunyai kedudukan yang tinggi.

ROH PERGAULAN

. Dalam kita bergaul, kita tidak dapat mengelak daripada melihat maksiat. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran daripadanya. Hati mesti rasa takut dengan maksiat yang dibuat oleh orang lain itu dan hati rasa bimbang kalau-kalau kita turut sama terlibat dengannya.

. Di antara roh dalam pergaulan lagi, hati rasa lapang dada berhadapan dengan bermacam-macam perangai manusia. Maklumlah kita sedang bergaul di tengah-tengah masyarakat. Kadang-kadang waktu kita hendak rehat, di masa itulah orang hendak berjumpa kita. Di waktu itu hendaklah lapangkan dada walaupun hati rasa tidak senang. Yang sebenarnya Allah hendak beri kita pahala waktu itu. Inilah yang dikatakan tasamuh (toleransi) yakni berlapang dada ketika bergaul dan berhadapan dengan berbagai-bagai ragam manusia.

. Di antara roh dalam pergaulan lagi, belajar membaiki diri daripada orang. Sebab tidak kurang juga kita melihat orang-orang yang baik dalam pergaulan kita. Itulah pengajaran lisanul hal untuk kita tiru. Itulah tarbiah untuk diri kita.  Kalaulah sikap diri yang kita gambarkan di atas tidak ada dalam pergaulan kita, ertinya kita bergaul tanpa roh. Nyawa pergaulan itu tidak ada.

ROH BERILMU

Kita belajar hingga dapat ilmu. Maka ilmu yang kita miliki itu dikira ada roh apabila:

– Ia sentiasa mengingatkan kita bahawa kita mempunyai banyak tanggungjawab kepada Allah yang mesti kita laksanakan. Jadi kalau kita memiliki ilmu yang begitu banyak tetapi ia tidak mengingatkan kita bahawa kita ada tanggungjawab kepada Allah, ini bermakna roh atau nyawa ilmu itu tidak ada. Yang berlaku hanya mental exercise sahaja. Oleh kerana roh ilmu mengingatkan kita akan bertang-gungjawab kepada Allah, maka bila kita ada ilmu, kita akan merasakan tanggungjawab yang makin berat. Makin banyak kita tahu, makin banyak pulalah tanggungjawab. Mengingatkan tanggungjawab adalah peranan hati. Bila kita memiliki ilmu, ia mengingatkan kita akan perintahperintah Allah sama ada yang wajib mahupun yang sunat yang hendak kita tegakkan.Yang haram dan makruh hendak kita tinggalkan.

– Di antara roh ilmu lagi, bila kita memilikinya ilmu itu akan mendorong hati kita cintakan Akhirat dan cintakan Allah. Ia mendorong hati kita benci dengan dunia (yang tidak memberi manfaat untuk Akhirat). Walaupun kita berjuang di dunia, menegakkan hukum Allah di dunia, mengatur masyarakat di dunia, mengambil kekayaan-kekayaan yang Allah halalkan di dunia, semuanya itu diperintahkan oleh Allah, namun hati tetap benci dengan dunia yang sentiasa saja hendak menipu kita.

Tegasnya, roh dalam berilmu itu, ia sentiasa menyedarkan hati kita bahawa dunia ini penipu, jahat dan hendak merosakkan kita. Kalau kita rasa begitu terhadap dunia melalui ilmu kita, maka sudah tentu dunia tidak akan dapat tipu kita. Ambillah dunia yang halal, tetapi ingat kadang-kadang ia boleh merosakkan kita. Carilah harta kekayaan tapi ingat, kadang-kadang ia menjahanamkan kita. Berniagalah sebesar mana pun tidak salah asalkan halal, tapi ingat, jangan sampai ia merosakkan hati kita, merosakkan perpaduan antara kita. Jadi kalau roh-roh dalam berilmu ini tidak kita miliki ertinya kita baru dapat rangka ilmu atau jasad lahirnya saja. Yakni ilmu tanpa roh, atau dalam kata yang lain, “ilmu-ilmu bangkai”. Kalau ilmu-ilmu bangkai yang kita dapat, ia tidak boleh menyelamatkan kita daripada rasa sombong, megah, riyak dan lain-lain mazmumah lagi.

ROH PERPADUAN

Bagaimana pula yang dikatakan roh amal dalam perpaduan? Allah suruh kita bersatu padu maka kenalah kita bersatu padu. Perpaduan dan persatuan yang Allah suruh mesti ada rohnya. Apakah roh perpaduan itu? Di antaranya ialah:

– Kita bersatu padu itu mesti disertakan rasa ukhwah (rasa persaudaraan) dan ingin mengutamakan orang lain. Ertinya jangan hanya fizikal kita saja yang bersentuh tapi hati tidak bertaut.

– Seterusnya perpaduan juga dikira ada roh bilamana ia di-sertakan rasa kasih sayang. Kalau kita berpadu dan berkumpul tapi tiada rasa kasih sayang, maka amat berat rasanya kita hendak bertemu selalu. Kalau ada tersalah tersilap, lagi benci hendak bertemu. Tapi kalau bertemu dengan hati, ada rasa kasih sayang antara satu dengan yang lain hingga rindu-merindui. Seminggu tidak berjumpa sudah bertanya-tanya, polan itu mana. Itulah roh perpaduan dan persatuan. Bila ada kasih sayang, krisis dapat dihindarkan. Kalau ada krisis pun, cepat padam, tidak berpanjangan kerana masih ada lagi pertautan hati.

– Termasuk dalam roh perpaduan juga ialah doa-mendoakan. Doa itu tidak semestinya dengan angkat tangan atau bercakap tapi juga doa dalam hati. Bila kita nampak kawan buat baik, hati rasa senang dan mendoakan, biarlah dia terus dalam kebaikan. Bila kita tahu kawan ada melakukan kesilapan, hati merasakan mudah-mudahan jangan dia buat lagi. Hati kita berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah berikan kawan kita pimpinan, taufik dan hidayah. Kawan itu tidak dibenci, sebaliknya kalau boleh diberi nasihat.

– Di antara roh-roh perpaduan lagi ialah ingin bertolong bantu dan simpati atas kesusahan atau ujian yang menimpa kawan.

Jadi kita berpadu bukan kerana pangkat atau kerana inginkan bantuan atau kerana takutkan musuh. Juga bukan kerana ekonomi dan bukan kerana itu dan ini. Tetapi kerana ia tuntutan daripada Allah SWT. Kalau kita berpadu kerana Allah maka indah sekali perpaduan itu. Perpaduan itu akan sentiasa kukuh.

Kalau tidak, bermacam-macam krisis akan timbul. Manusia di seluruh dunia hari ini cuba mewujudkan perpaduan. Mereka melaungkan: “Mari bersatu, mari bersatu!”, tapi tukang cakap itulah yang membawa pecah-belah. Dia ajak orang ramai bersatu padu tapi di sudut yang lain dialah pemecah belah umat. Oleh itu roh perpaduan mesti dijaga, kalau tidak nanti hanya berlaku pertautan fizikal tetapi tiada pertautan hati. Pertemuan itu biarlah dengan tautan hati, bukan dengan tautan fizikal semata-mata yang tiada erti apa-apa.

Orang mukmin itu menurut Rasulullah ialah mereka yang jiwa (roh) mereka antara satu dengan yang lain sentiasa ikat-mengikat (berangkai-rangkai, tiada putus-putus).

ROH BERDOA

Bagaimanakah pula roh amal dalam berdoa? Doa itu dalam bahasa Melayu maksudnya ‘meminta’. Maka antara rohnya:

. Mesti faham apa yang kita minta kepada Allah SWT. Kalau kita meminta tetapi tidak faham apa yang kita minta, maka itu satu hal yang pelik. Katalah kita minta sesuatu daripada kerajaan, apabila ditanya, “Apa yang kamu minta?” Kita jawab, “Tidak tahu.” Bukankah aneh dan pelik?

. Waktu berdoa itu mesti rasa merendah diri dengan Tuhan. Ibarat kita hendak minta sesuatu daripada menteri, janganlah bercekak-cekak pinggang di hadapannya, sebaliknya mesti dengan bahasa yang lembut dan merendah diri. Jadi waktu kita berdoa itu mesti rasa merendah diri dan meng-harap kepada Tuhan.

. Termasuk juga roh berdoa, waktu berdoa itu kita yakin Allah terima doa kita. Jangan pula sewaktu berdoa hati kecil kita berkata, “Entahlah, akan Allah kabulkan atau tidak…” Ertinya dalam meminta itu kita sudah jahat sangka dengan Allah. Jadi, dalam apa saja yang kita buat, roh amal itu mestilah kita kekalkan. Hinggakan diam pun mesti ada roh. Roh diam itu ialah sewaktu diam itu, kita berfikir. Berfikir tentang kebesaran Allah, tentang diri sendiri sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya, tentang dosa, tentang mati, tentang perjuangan dan tentang Akhirat. Juga berfikir tentang perjuangan, tentang apa lagi pengorbanan yang kita hendak buat dan tentang tanggungjawab yang belum kita laksanakan. Sebab itulah diam orang mukmin yang bertaqwa itu diang-gap ibadah dan diberi pahala, kerana diamnya itu ada roh. Ia kadang-kadang lebih baik daripada orang yang tidak bertaqwa yang nampaknya aktif di tengah gelanggang kehidupan ini. Jadi amal ibadah kita, perjuangan kita, usaha kita dan lain-lain lagi itu mesti mempunyai roh. Kalau tidak, semua amal kita itu hanya rangka-rangka atau jasad lahir semata-mata. Ia seperti bangkai sahaja. Amal tanpa roh adalah sia-sia kerana yang Allah nilai adalah rohnya, walaupun kita wajib beramal. Oleh itu roh setiap amal hendaklah kita jaga agar ia ada nilai di sisi Allah SWT.

KENAPA AMALAN TIDAK ADA ROH

Kenapa ibadah, perjuangan, jihad dan segala amal tidak ada roh? Apa puncanya? Ia adalah kerana:

1. Cinta dunia, iaitu gilakan perempuan, gila pangkat, cinta nama, cinta kedudukan, cinta kemasyhuran dan lain-lain.

2. Dosa-dosa yang kita buat.

3. Tidak ada kefahaman. Walaupun kita beramal ibadah, tetapi kerana tidak faham (jahil), maka amal ibadah kita itu tidak ada roh.

Apabila amalan kita tidak ada roh, ertinya kita beramal dalam keadaan lalai. Jika kita berdakwah tapi rohnya tidak ada, ertinya kita berdakwah dalam keadaan lalai. Kalau kita berekonomi walaupun berjaya dan dapat menegakkan yang halal tapi rohnya sudah tidak ada maka kita berekonomi dalam keadaan lalai. Betapalah kalau terlibat dengan yang haram. Kalau kita bermusafir tanpa rohnya, ertinya bermusafir dalam keadaan lalai. Kalau kita mengajar walaupun mengajar ilmu Tuhan (ilmu tauhid, feqah dan tafsir) sekalipun tapi rohnya sudah tidak ada, ertinya mengajar dalam keadaan lalai.

Begitu juga kalau kita belajar, berjemaah, bertemu dan berjihad tanpa roh, ertinya semuanya itu dalam keadaan lalai.  Sifat lalai ini dimurkai Allah. Lalai itu termasuk “dunia”. Sebab yang dikatakan “Akhirat” itu ialah sesuatu yang ada hubungan ingat kepada Allah. Kalau tiada hubungan ingat kepada Allah, itu amal dunia namanya. Sedangkan dalam Al Quran ada menyatakan: “Jangan kamu menjadi orang yang lalai.” (Al A’raf: 205)

Tegasnya setiap usaha dan ikhtiar kita mesti disertakan rohnya. Sebab rohnya itulah tempat nilaian Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis: “Hendaklah kamu takut kepada Allah di mana saja kamu berada, dan hendaklah kamu ikuti kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya. Dan hendaklah kamu berakhlak dengan sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Tirmizi)

Ertinya dalam masa kita berjihad, kita mesti ada rasa takut kepada Allah. Begitu juga dalam masa kita bersembahyang, beramal ibadah, bermusafir, bergaul, bertemu dan berjemaah, mesti ada rasa takut kepada Allah. Jadi adanya rasa takut dalam apa saja tindakan yang kita buat itulah sifat-sifat taqwa. Itulah roh-roh amal yang telah digambarkan tadi. Oleh kerana itulah dalam kitab ada dinyatakan, “Cukuplah dua rakaat sembahyang sunat tetapi dikerjakan dalam keadaan takut kepada Allah SWT daripada beribu-ribu rakaat yang tidak disertakan rasa takut kepada Allah (roh amal itu tidak ada atau rasa taqwa tidak ada).

Jadi kita perlu membangunkan roh dalam setiap amal yang kita buat kerana di situlah nilaian Allah. Kalau kita boleh jaga roh amal dalam setiap apa yang kita buat, insya-Allah, Allah akan sentiasa bantu kita ke jalan-Nya yang lurus. Susah sekali hendak kita jaga roh amal ini. Inilah yang dikatakan ilmu tasawuf yang orang tolak hari ini. Pada roh amal inilah letaknya kejayaan umat Islam.

Kisah menarik di sini...

  • apa itu hati (10)
  • kenapa belum bertemu roh (4)
  • roh sembahyang (4)
  • sembahyang roh (3)
  • roh suatu amalan (2)
  • bila tiada roh untuk beribadah (2)
  • roh amal (2)
  • roh solat roh sedekah (2)
  • Kalau hati dalam kesusahan atau dalam ketakutan perlu buat apa (1)
  • jangan salahkan Allah bila kita merosakkan diri sendiri (1)
  • jangan ingat semua melayu itu mukmin (1)
  • jaga roh islam (1)
  • kita boleh rasa orang yang roh baik (1)
  • memiliki roh solat (1)
  • rasa roh tiada dalam jasad (1)
  • nyawa dah roh apa bezanya (1)
  • roh tasamuh (1)
  • sembahyah roh (1)
  • tasauf rasa tiada apa apa (1)
  • www sembahyang roh com (1)
  • dosa roh (1)
  • diam itu mengingati akhirat (1)
  • diam itu ibadah (1)
  • apa erti jaga hati (1)
  • apa itu amal (1)
  • apa itu dunia roh (1)
  • allah sentiasa bersama dengannya di mana saja berada (1)
  • apa itu roh amal (1)
  • Apa kalau orang main jihad apa bagi allah (1)
  • apa maksud roh ibadah (1)
  • apa yang di maksudkan dengan mengingati Allah (1)
  • apaituroh (1)
  • apakah belasan orang tiada amal ibadat (1)
  • apakah itu ilmu roh (1)
  • apekah itu hati (1)
  • bagaimana roh sudah tiada (1)
  • bagaimana sembahyang dgn ruh (1)
  • bekerja dengan roh (1)
  • bolehkah kita berdoa rindu berjumpa dengan allah? (1)
  • definisi roh sensitif (1)
  • Amalan tuk bertemu roh seseorang (1)