KESUSAHAN RASULULLAH SEJAK KECIL

Jika kita membaca sejarah orang yang bakal menjadi kekasih-kekasih dan pilihan Tuhan sungguh aneh sekali. Dari kecil lagi mereka disusah-susahkan, miskin dan papa, menderita dan sengsara, dibudayakan kepada mereka. Aduh! Sungguh menyayat hati, hati kita sungguh turut tersayat dibuatnya. Aku ambil satu contoh kekasih agung Tuhan, iaitu Muhammad, sebagai Nabi dan Rasul SAW buat akhir zaman. Aduh sedihnya, lahir sahaja bapanya tempat bermanja sudah tiada, mati sebelum lahirnya. Lahirnya walaupun masih ada ibu tempat bermanja, tapi dari kecil lagi dipisahkan pula dari ibunya, kerana diberi kepada ibu angkatnya, Halimatus Saadiah namanya. Tidak sempat bermanja dengan ibunya, bahkan belum pun sempat kenal ibunya, dipisahkan pula, aduh hibanya hati kita? Ibu angkatnyalah yang memelihara di dalam keadaan miskin pula, empat tahun lamanya. Hati kita ikut terasa luka dibuatnya? Nabi merasa ibu angkatnya itulah ibu kandungnya. Aduh! Baru sedang asyik-asyik bermanja, di dalam belaian ibu angkatnya, memang ibu angkatnya terlalu sayang kepadanya, dipisahkan pula Sedang berkasih sayang, di antara anak dan ibu angkatnya, ibu kandungnya mengambilnya pula. Sudah tentu sekali sama ada Halimah mahupun Nabi, macam tercabut nyawanya, kerana terpisah dengan orang kesayangannya. Dua tahun di dalam peliharaan ibunya, belum pun puas bermanja, ibunya mati pula. Aduh seksanya jiwanya kita pun ikut terasa. Yatim piatulah Nabi, tiada beribu dan berbapa di dalam keadaan miskin dan sengsara pula. Dia diagihkan pula kepada datuknya, Abd Mutalib namanya. Baru dapat bermanja sekitar dua tahun, datuknya pula terpisah dengannya buat selama-lamanya kerana kematiannya. Aduh! Satu demi satu orang kesayangannya diambil oleh Tuhan, hilang seluruh tempat bermanja dan kasih sayang. Mujurlah ada bapa saudaranya Abu Talib, dia dipelihara oleh Abu Talib, adik-beradik bapanya, yang sangat miskin pula kehidupannya, anaknya ramai pula. Bapa saudaranya sangat sayang kepadanya, lebih-lebih lagi dia anak yatim piatu, Kerana kesempitan hidup, untuk kehidupan dia mengambil upah menjaga kambing-kambing orang di Mekah di dalam suasana kepanasan di musim panas. Di waktu-waktu tertentu mengambil upah dari hasil berdagang, dari perniagaan seorang janda kaya di Mekah, Khadijah namanya. Berdagang itu bukan pula di Mekah, tapi di Syam yang sangat jauhnya. Aduh! Tempat bermanja sudah tidak ada, susah pula, penat lelah tidak terkira, berdagang, mengambil upah pula. Di waktu kecilnya kurang sangat berkawan dengan kanak-kanak sebayanya. Dia suka hidup bersendirian, berfikir dan merenung tentang nasib bangsanya. Selalu sahaja dia mendongak ke langit di waktu kesepian dan kedinginan malam. Seolah-olah menunggu bantuan Tuhan, inginkan penyelamat, untuk bangsanya yang hidup tidak ada tujuan dan di dalam keadaan tidak keruan. Dia dari kecil lagi, fikirannya dan hatinya sudah dewasa, sudah memikirkan nasib bangsanya. Tidak seperti kanak-kanak yang lain hanya memikirkan makan minum, pakaian, bermain-main dan bergurau senda. Begitulah seorang kekasih Tuhan, Muhammad namanya, Abdullah bapanya, Aminah ibunya, Halimah ibu angkatnya Rasul akhir zaman. Demikianlah didikan Tuhan kepada kekasih-Nya, orang pilihan-Nya pemimpin yang dijanjikan. Dididik dengan kesusahan, kemiskinan, penderitaan dibudayakan kepada mereka semenjak kecilnya. Apakah rahsia Tuhan melakukan kesusahan kepada mereka semenjak kecilnya? Sedangkan mereka adalah kekasih Tuhan, apakah hikmah di sebaliknya? Apakah didikan yang tersirat di dalamnya? Rahsia yang dapat kita baca, Tuhan mahu mereka tidak terpesona dengan dunia dan kemewahannya sejak kecilnya. Kalau dunia dan kemewahannya sudah menjadi kecintaan, itulah sandarannya bukan kepada Tuhan. Hikmah yang lain kerana Tuhan hendak meningikan darjat mereka di Syurga. Rahsia yang lain Tuhan hendak mendidik kekasih-kekasih-Nya membesarkan Akhirat dari dunia. Oleh itu bagaimana nanti mereka mengajak manusia kepada Tuhan, sedangkan mereka masih ada sedikit bersandar dengan dunia, padahal mereka orang Tuhan. Ada hikmah lain, agar kekasih Tuhan itu faham erti penderitaan, semoga mereka dapat menjadi pembela dan penyelamat kepada manusia. Di waktu-waktu mereka senang, habis hartanya untuk membela orang yang susah. Jika kita mahu menjadi orang Tuhan dan kekasih-Nya kenalah sanggup susah dan menderita. Di waktu-waktu senang dan kaya korbankanlah untuk orang yang menderita.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12 + thirteen =