PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH DALAM ISLAM

Rumahtangga dan sekolah adalah dua institusi yang berpengaruh dalam pembentukan anak-anak diperingkat umur antara 2 hingga 6 tahun atau tadika. Mereka mendapat bimbingan terus daripada ibu bapa dan guru-guru tadika. Peringkat ini dinamakan pendidikan pra-sekolah. Sebenarnya pendidikan di peringkat ini adalah lebih mencabar kerana kanak-kanak tersebut sudah mula boleh bercakap dan menilai. Mereka ibarat cawan kosong yang bersedia menerima apa saja yang dituangkan ke dalamnya atau umpama kain putih yang sedia untuk dicorakkan apa saja di atasnya. Kalau perkara itu baik maka baiklah yang diterimanya, begitu jugalah sebaliknya. Oleh itu dalam mendidik mereka hendaklah diberi penekanan kepada tiga aspek iaitu:
  1. Mendidik roh atau hatinya
  2. Mendidik jasmani
  3. Mendidik akal
1. Mendidik Roh atau Hatinya
  • Di peringkat umur ini ibu bapa wajib menanamkan asas-asas keimanan seperti memperkenalkan mereka kepada Allah dan sifat-sifat-Nya. Kenalkan sifat pengasih, penyayang, pengampun dan lain-lain terlebih dahulu barulah kenalkan sifat Qahhar, Jabbar dan lain-lain
  • Kenalkan juga nama-nama rasul dan sifat-sifatnya, akhlak dan peribadi baginda sehingga anak-anak cintakan Rasul serta suka mengamalkan Sunnah baginda
  • Kenalkan nama-nama malaikat dan tugas tugasnya. Pendek kata, segala yang terkandung dalam Rukun Iman yang enam sudah diketahui dan dihayati oleh mereka.
Untuk menyampaikan ilmu ini semua, bolehlah dilakukan dalam berbagai cara mengikut daya kreativiti pendidik. Sekurang-kurangnya terdapat tiga pendekatan yang berkesan: i. Memberi maklumat dalam perbuatan biasa. ii. Bercerita. iii. Bernasyid. Sama ada ibu bapa sendiri atau melalui keset-keset nasyid dan video nasyid yang boleh mendidik jiwa dan mental anak-anak. Selain dari itu, ibu bapa juga hendaklah menitikberatkan perkara-perkara berikut:
  • Bersembahyang jemaah di tempat yang boleh dilihat oleh anak-anaknya. Sebaik-baiknya ada bilik sembahyang di rumah.
  • Ibu bapa atau pendidik hendaklah menunjukkan sifat-sifat terpuji untuk diteladani oleh anak-anak. Kanak-kanak memang mudah mendapat ilmu melalui meniru perbuatan orang lain, maka segala perbuatan baik yang kita lakukan akan mudah diikutnya.
  • Para pendidik terutama ibu bapa dan guru-guru janganlah melakukan kejahatan atau memperlihatkan pekerti buruk terutama di hadapan anak-anak kerana mereka juga akan menirunya.
  • Kita tidak boleh nafikan bahawa sifat-sifat nafsu yang keji memang sukar untuk dibuang terus dari hati, tetapi demi untuk mencapai pendidikan yang baik, maka ibu bapa hendaklah melatih untuk mengekang nafsu tersebut dan melatih untuk mengikisnya.
  • Para ibu bapa yang bercita-cita menjadikan anaknya berakhlak mulia, pilihlah nurseh atau taman didikan kanak-kanak yang watak pendidiknya mempunyai ciri-ciri akhlak mulia dan boleh mendidik anak-anak kita. Moga-moga dengan gabungan pendidik tersebut dengan ibu bapa yang baik itu menjadikan anak itu anak yang soleh juga.
2. Aspek Jasmani Aspek jasmani tidak kurang pentingnya kerana ada pepatah menyebut: Akal yang sihat dari badan yang sihat. Demikian juga ada maksud Hadis yang menyebut "Allah lebih menyukai orang mukmin yang kuat. " Anak-anak di peringkat ini memang sentiasa suka bermain tidak kira masa dan apa saja. Namun ibu bapa hendaklah mengawasi mereka agar mereka tidak membuat perkara-perkara yang membahayakan. Contoh aktiviti yang membahayakan: a. Bermain dengan alat permainan yang tajam atau lain-lain yang membahayakan. b. Bermain sehingga lupa hendak balik ke rumah, lupa makan, lupa mandi dan lain-lain c. Masih bermain di waktu senja. d. Bermain di waktu malam. Beri pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Elakkan anak-anak daripada memakan makanan ringan yang tidak berkhasiat. Disiplinkan masa tidur mereka. Elakkan anak-anak daripada tidur selepas Subuh dan selepas Asar. Galakkan mereka tidur qailulah (20 -30 minit sebelum Zuhur). Melatih mereka agar menjaga kebersihan diri seperti:
  • menyikat gigi
  • mandi
  • memotong kuku dan lain-lain
Melatih adab-adab, antaranya: a. Adab dengan orang tua Maksud orang tua di sini ialah ibu bapa, guru-guru, abang dan kakak dan orang-orang tua. Di antara adabnya ialah:
  1. Memberi salam ketika bertemu.
  2. Berjalan di belakang atau di sisi mereka. Tidak mendahului mereka.
  3. Bertanyakan khabar.
  4. Bercakap perkara yang baik-baik.
  5. Menjawab pertanyaan dengan sopan.
  6. Kurangkan bercakap daripada mereka.
  7. Tidak mengeluarkan perkataan yang kesat, menghina atau tidak menghormati mereka.
  8. Tidak meninggi suara di hadapan mereka.
  9. Berusaha menunaikan suruhan atau permintaan mereka.
  10. Sentiasa ingin menghiburkan mereka.
Adab-adab ini perlu dilatih dan diingat-ingatkan sejak kanak-kanak itu pandai bercakap. ia hendaklah sentiasa diawasi lebih-lebih lagi setelah umur anak-anak mengingkat ke empat tahun. Kanak-kanak di peringkat itu memang suka bertanya kerana ingin tahu. b. Adab makan dan minum Suruh mereka membasuh kedua-dua belah tangan sebelum makan walaupun tangan tidak kotor. Membaca doa sebelum makan, sekurang-kurangnya bacalah Bismillah, ertinya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang. Sebaik-baiknya bacalah doa makan yang ertinya: "Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dan peliharalah kami dari azab Neraka."
  • Mengambil makanan yang terdekat terlebih dahulu (kali yang kedua baru boleh mengambil yang lain) dan ambillah dengan tangan kanan.
  • Kecilkan suapan.
  • Mengunyah makanan hingga hancur sebelum menelan. Mengikut Imam Ghazali, makanan perlu dikunyah sebanyak 40 kali.
  • Elakkan memandang kawan yang sedang makan bersama kerana ini boleh menyebabkan dia merasa tidak selesa.
  • Jangan makan secara bersandar.
  • Makan setelah merasa lapar. Elakkan makan ketika kasih kenyang.
  • Berhenti makan apabila terasa kenyang (lebih baik lagi kalau berhenti sebelum kenyang).
  • Pungut sisa makanan yang terjatuh di luar (disunatkan melapik kain saprah yang bersih supaya makanan yang jatuh boleh dipungut dan dimakan).
  • Menjilat jari setelah selesai makan.
  • Akhirnya baca doa puji-pujian kepada Allah yang telah memberi rezeki yang ertinya: "Segala puji bagi Tuhan yang telah mengurniakan makanan dan minuman kepada kami dan menjadikan kami dari gotongan orang-orang Islam."
Adab minum:
  1. Membaca Bismillah dan doa seperti di atas.
  2. Tidak minum dalam keadaan berdiri.
  3. Memegang gelas atau bekas minuman dengan tangan kanan.
  4. Minumlah seteguk demi seteguk dan berhenti mengambil nafas.
  5. Tidak melepaskan nafas di dalam gelas.
  6. Ucapkan pujian kepada Allah setelah selesai minum.
Adab-adab ini hendaklah selalu diawasi oleh ibu bapa atau pendidiknya. Kanak-kanak memang mudah melupakan adab-adab makan dan minum. Mereka mudah sahaja untuk makan dan minum sambil berdiri bahkan sambil berjalan dan berlari. Oleh itu setiap kali mereka melakukan kesilapan, teruslah ditegur. Jika selalu diberi teguran, lama-kelamaan mereka akan terbiasa dengan adab tersebut. Adab-adab ini penting demi menjaga kesihatan mereka supaya stabil atau seimbang. Sifat banyak makan, suka kemewahan dunia dan suka meminta minta adalah akhlak yang buruk. Dari itu kawal makan minumnya dan berikan makanan yang sederhana. Elakkanlah dan melayan segala permintaannya. Kanak-kanak jika sekali dilayan kehendaknya, akan dimintanya selalu. Makanan yang teratur dan terancang akan melahirkan anak-anak yang cergas dan sihat. c. Adab masuk tandas Kanak-kanak di peringkat ini memang belum pandai untuk menggunakan tandas dengan baik Ibu atau bapa memerlukan kesabaran dalam melatih mereka menggunakan tandas dengan betul dan beradab sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul. Anak-anak yang tidak didisiplinkan sejak kecil dalan menggunakan tandas, ia akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa kelak. Cuba kita lihat, tandas-tandas awam banyak yang kotor dan berbau busuk termasuklah tandas-tandas di masjid-masjid. Padahal kalau setiap orang ada rasa tanggungjawab tentu tidak terjadi sedemikian Oleh itu kitalah yang mesti mengajar anak-anak menggunakan tandas dengan betul. Setiap umat Islam mestilah tahu bagaimana menjaga tandas agar sentiasa bersih. Islam adalah agama yang bersih dan cantik. Allah sendiri bersih dan cantik. Rasulullah SAW ada bersabda: "Kebersihan sebahagian dari iman." Malanglah kalau umat Islam mengabaikan soal kebersihan ini. Di hari ini umat Islam sepatutnya merasa malu kepada orang yang bukan beragama Islam kerana mereka sungguh teliti tentang kebersihan. Di sesetengah negara bukan Islam, tandas mereka pun bersih, betapalah tempat tidur mereka. Oleh kerana itu, para ibu bapa serta pendidik diharapkan dapat mengambil perhatian serius dalam soal ini agar kanak-kanak Islam kini dilatih menjaga kebersihan. Umat Islam tentu lebih baik dari orang bukan Islam, sebab itu soal masuk tandas pun diajar oleh Islam. Lihat, mana ada agama di dunia selain Islam yang mengajar adab masuk tandas. Ternyatalah Islam lebih serius. Di sini diturunkan beberapa adab masuk tandas supaya mudah para ibu atau pendidik melatih anak mereka. Adab masuk dan keluar tandas:
  1. Menutup kepala.
  2. Memakai alas kaki.
  3. Membaca doa masuk tandas. Ertinya: "Aku berlindung dengan Allah dari syaitan jantan dan syaitan betina." Jika terlupa membaca doa setelah masuk ke tandas, boleh membaca (di dalam hati) apabila teringat.
  4. Masuk dengan mendahulukan kaki kiri.
  5. Keluar dengan kaki kanan.
  6. Tidak membuang air sambil berdiri.
  7. Tidak bercakap ketika membuang air.
  8. Tidak membawa benda-benda mulia ke dalam tandas. Misalnya buku-buku atau kitab-kitab untuk dibaca di dalam tandas (sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang bukan Islam) termasuklah kertas, kain atau lain-lain yang bertulis ayat-ayat Al Quran.
  9. Tidak boleh membaca Al Quran atau menyebut nama Allah, para Sahabat atau nama-nama orang soleh di dalam tandas.
  10. Berdehem apabila membuang air kecil supaya kencing benar-benar tos.
  11. Membasuh kaki sebelum keluar.
  12. Membaca doa setelah keluar dari tandas. Ertinya: "Segala puji bagi Allah yang menghilangkan kekotoran padaku dan menyihatkan aku. "
Adab ini hendaklah dilatih selalu pada anak-anak terutamanya setelah mereka mencapai umur 4 tahun, la tentulah memakan masa yang agak lama untuk mereka menjadikannya amalan biasa. Para ibu atau pendidik tidak boleh jemu dalam melatih mereka, sebab kalau kita gagal mendidik dan melatih mereka bererti akan berlanjutanlah umat islam yang tidak dapat menilai pentingnya kebersihan sehingga hilanglah keindahan dan kecantikan Islam Itu. 2. MENDIDIK AKAL Perkembangan akal kanak-kanak sebenarnya sudah mula aktif sejak dari dalam rahim lagi. Seteiah lahir ke dunia, mereka iebih terdedah kepada ilmu pengetahuan, maka akal mereka mula menyimpan maklumat. Maklumat ilmu yang pertama ialah huruf 'M', sebab itu kanak-kanak dari apa bangsa pun akan me nyebut. 'ma' atau 'mi' atau 'mak' gelaran untuk ibunya. Dari situlah berkembangnya akal mereka sehingga boleh menguasai bahasa ibundanya. Betapalah anak-anak di peringkat 2 hingga 6 tahun ini. Mereka mudah menangkap apa saja yang dilihat, didengar dan dirasa. Sehubungan dengan ini, ibu bapa hendaklah:
  • Mengawasi anak agar tidak berkawan dengan kanak-kanak yang bersikap negatif. Ini untuk mengelak mereka daripada mendapat maklumat ilmu yang negatif seperti kata-kata carut-marut dan kata-kata kesat
  • Ibu bapa perlu menjaga percakapan mereka sendiri agar tidak terkeluar ucapan-ucapan yang tidak elok, apatah lagi kata-kata kesat ketika bertengkar dan seumpamanya. Setiap ucapan kita itu akan ditiru oleh anak-anak.
  • Kanak-kanak dalam usia 4-6 tahun tentu lebih serius diberi perhatian dalam pergaulan bahasa banyak diperolehi semasa usia ini hasil pergaulan dengan kawan-kawannya. Ibu bapa perlu memerhatikan bahasa percakapannya apakah lunak atau kesat. Jika ada yang kesat segeralah betulkan.
Perkembangan akal juga akan bertambah baik jika didedahkan kepada alam semula jadi. Mengurung mereka di dalam rumah semata-mata akan menyempitkan perkembangan akalnya. Oleh itu sesekali eloklah keluar bersama anak anak melihat alam semesta ini, biar mereka melihat keajaiban ciptaan Allah. Jika perkembangan akalnya cergas, pasti dia akan bertanya kepada ibu bapanya: Apa, mengapa, ke mana dan dan mana? Soalan itu hendaklah dilayan dengan baik dengan jawapan yang betul lagi memuaskannya. Selain dari itu juga bolehlah diberikan beberapa buku terutama buku yang bergambar. Buku cerita bergambar amat berkesan kepada mereka walaupun mereka tidak mampu membacanya. Ibu atau bapa sebaiknya memandu mereka untuk memahami cerita itu. Latihan begini amat diperlukan menjelang mereka memasuki alam persekolahan secara langsung Taman Didikan Kanak-kanak Kanak-kanak yang berusia 5-6 tahun telah pun masuk ke alam mumaiyiz. Mereka sudah boleh membezakan antara buruk dan baik, di antara suruhan dan tegahan dan sebagainya. Didikan utama di peringkat ini ialah:
  1. Menanamkan dan menyuburkan sifat malu ke dalam diri mereka.
  2. Melatih adab-adab seperti cara makan dengan betul, cara bergaul dengan kawan-kawan dan lain-lain.
  3. Membimbing akhlak mereka.
  4. Mengawasi tindakan mereka agar tidak melakukan perkara yang melanggar syariat.
  5. Membiasakan mereka dengan melakukan ibadah sembahyang.
Dalam usia ini juga mereka patut dimasukkan ke alam pra sekolah. Mereka hendaklah dididik dan dilatih agar terbiasa dengan alam persekolahan, terbiasa dengan pergaulan dan terbiasa menggunakan peralatan persekolahan. Pendidik di taman-taman didikan ini adalah sebagai pengganti ibu bapa, maka peranan mereka tentulah sama seperti peranan ibu bapa juga.