PANDUAN MENDIDIK ANAK REMAJA

Banyak orang boleh memberi ilmu tapi gagal mendidik, orang yang berjaya mendidik manusia itu ialah orang yang dirinya lebih dahulu terdidik

Kebanyakan kanak-kanak atau lebih tepat lagi remaja, mereka sudah baligh di usia 13 hingga 18 tahun. Sesetengahnya baru memasuki alam itu. Di sini bermulalah alam baru bagi mereka. Fitrah anak-anak muda di usia ini, antaranya ialah lelaki sudah ada keinginan terhadap perempuan, begitu juga sebaliknya. Fitrah ini jika tidak dikawal akan menyebabkan berlaku pergaulan bebas yang membawa kepada keruntuhan akhlak muda-mudi. Inilah yang berlaku hari ini hasil didikan secara tidak langsung oleh persekitaran mereka. Media massa misalnya; sama ada media elektronik atau media cetak; turut terlibat dalam mempengaruhi budaya bebas ini. Bagi anak anak yang telah dididik secara serius dengan pendidikan Islam, yang mana mereka sudah ada sedikit rasa bertuhan dan rasa kehambaan serta tahu batas-batas syariat, inilah yang menjadi benteng dari segala pancaroba dunia moden hari ini. Rasa cinta dan takut kepada Tuhan sajalah yang mampu menghalang manusia dari melakukan kejahatan. Namun kebanyakan remaja hari ini masih perlukan pengawasan ibu bapa. Kita tidak boleh merasa senang hati kerana merasakan mereka sudah besar dan tahu berfikir lalu membiarkan kedewasaan mereka tanpa diikat. Kita hendaklah memberi perhatian kepada mereka antaranya: 1. Siapa kawan-kawannya Kadang-kadang pengaruh kawan-kawan di peringkat ini perlu diambil kira Pengalaman yang sudah-sudah menunjukkan walaupun masyarakat kampung yang terbiasa dengan didikan keagamaan namun apabila tiba di bandar atau kota, semuanya boleh berubah dengan sekelip mata. Kalau begitu, tugas ibu bapa dalam mendidik anak belum lagi selesai. Malah di waktu ini lebih mencabar lagi 2. Pengisian ilmu Perkara yang mesti dititikberatkan di peringkat ini ialah ilmu tauhid, ilmu feqah dan ilmu tasawuf.
  • membantu mereka dalam mujahadatunnafsi (melawan hawa nafsu)
  • meningkatkan pengalaman mereka melalui latihan kemahiran.
  • mematangkan fikiran mereka dengan mendedahkan kepada program luar.
Kesemua ini adalah ilmu yang mesti diberikan sama ada secara langsung atau tidak. Ilmu sebenarnya tidak semestinya disampaikan di tempat atau dimajlis-majlis rasmi saja, ia boleh disampaikan di mana-mana saja Bahagian pertama mungkin boleh diperolehi di sekolah, tapi bahagian lainnya tidak akan diperolehi di bilik darjah, bahkan alam sekitarlah sekolahnya secara tidak langsung. Mungkin teguran kawan boleh mendidiknya dan boleh jadi juga kesusahan kawan boleh mendidiknya. Lebih-lebih sikap dan akhlak ibu bapa sendiri memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Rasulullah SAW sendiri sentiasa mendidik para Sahabat tidak kira di mana sahaja sama ada di atas unta, di masjid, di pasar, di kedai-kedai, waktu rehat, ketika musafir, di majlis kenduri, di majlis kematian hatta di medan perang sekalipun, Rasulullah mendidik seseorang itu tanpa menangguh-nangguhkan masanya. Apabila dilihat saja seorang Sahabat melakukan kesalahan, terus dibetulkannya. Misalnya, pernah berlaku pada suatu hari ketika Rasulullah membaca khutbah Jumaah, tiba-tiba masuk seorang Sahabat dan duduk tanpa bersembahyang sunat Tahiyatul Masjid, lantas baginda dalam khutbah itu terus meminta Sahabat tadi agar segera bangun untuk bersembahyang sunat. Rasulullah tidak menunggu habis sembahyang Jumaat untuk memberitahunya. Mengenal pasti watak dan tahap pemikiran mereka Ibu bapa dan pendidik hendaklah mengenal pasti watak dan tahap pemikiran mereka. Apakah mereka golongan cerdik pandai atau golongan yang ingin tahu atau golongan degil. Untuk berhadapan dengan anak remaja ini perlu kepada kaedah yang tidak sama di antara satu sama lain. Golongan cerdik pandai Boleh jadi anak kita seorang yang bijak dan tinggi ilmunya. Untuk menghadapinya ibu bapa hendaklah bijaksana juga. Apa yang ibu bapa sarankan kepadanya hendaklah disertakan dengan dalil dan hujah yang tepat. Mereka mudah menerimanya jika hujan yang diberikan itu dan munasabah. Golongan yang ingin tahu Boleh jadi juga kita mempunyai anak yang mudah mengikut tunjuk ajar atau telunjuk yang baik. Mereka ini mudah dihadapi, iaitu hanya dengan memberi ilmu dan nasihat yang baik serta contoh teladan yang baik dan mudah pula mereka mengikutnya. Golongan degil Tidak kurang juga mereka yang mempunyai anak yang degil, yang tidak senang hati dengan sikap ibu bapanya. Untuk menghadapinya, ibu bapa hendaklah pandai membawa mereka berbincang secara empat mata. Minta dijelaskan perkara yang tidak disenanginya. Mereka memang suka berhujah dan berdebat. Di sinilah ibu bapa mesti pandai mematahkannya dengan baik. Setelah jelas kebenarannya barulah mereka mahu menerimanya. Ketiga-tiga golongan ini wujud di mana-mana sama ada di kalangan kanak-kanak, orang dewasa, muda-mudi mahupun orang tua. Oleh itu para pendidik mestilah mengenal pasti setiap golongan itu agar didikan yang disampaikan itu tepat pada sasarannya. Tahu kaedah dan pendekatan pendidikan Di samping itu kaedah atau pendekatan pendidikan hendaklah selari dengan kaedah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah. Ini kerana pendekatan yang dibawa oleh baginda sudah terbukti membawa kejayaan. Pendidikan Rasulullah terbahagi kepada dua peringkat: Peringkat Makkah dan Peringkat Madinah Di peringkat Makkah, Rasulullah membangunkan insan. Manakala di peringkat Madinah, baginda memulakan pembangunan fizikal. Hasil dari proses didikan seperti ini, maka lahirlah masyarakat, negara dan dunia yang aman makmur serta mendapat keampunan Aliah. Di sini disenaraikan kaedah pendidikan itu sebagai panduan para pendidik: PEMBINAAN INSAN Mendidik jiwa tauhid agar tumbuh rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT. Ertinya mengenalkan Tuhan kepada manusia. 'Kenal' Tuhan tidak sama dengan 'tahu' tentang Tuhan. Kalau sekadar tahu tentang adanya Tuhan, tahu bahawa Tuhan itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan sebagainya, belum tentu seseorang itu takut dan cinta kepada Allah. Seseorang yang benar-benar kenal Tuhannya dia pasti cinta dan takut kepada Tuhannya. Inilah yang dilakukan oleh baginda di peringkat Makkah iaitu mengenalkan Tuhan kepada para Sahabat selama 13 tahun sehingga mereka benar-benar cinta dan takut kepada Tuhan. Hati yang takut dan cinta kepada Tuhan sahaja yang mampu memikul syariat dan hukum-hakam dari Tuhan. Oleh sebab itulah setelah mereka benar-benar kenal Tuhan, barulah datang perintah syariat di peringkat Madinah yang mengambil masa 10 tahun sahaja. Ertinya mengenalkan Tuhan kepada manusia memakan masa yang lebih lama. Oleh itu kita yang bercita-cita ingin menegakkan Islam dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan seterus negara dan alam sejagat ini, perlu berusaha mengenalkan Tuhan kepada anak-anak sejak kecil lagi.

Rasa kehambaan itu bukan sekadar di dalam sembahyang saja, tapi ia hendaklah dibawa ke mana-mana, kerana kita di mana-mana sahaja tetap hamba, agar sifat ketuanan tidak mengambil alih di dalam jiwa kita, supaya kita tidak sombong, megah, pemarah, hasad, sum’ah, ujub, lupa daratan

Jadi anak-anak kita yang sudah meningkat remaja ini, tidak boleh kita paksa paksakan untuk melakukan syariat semata-mata. Apa yang lebih utama ialah menanamkan dalam hatinya rasa bertuhan dan rasa kehambaan seperti: Merasa Maha Besarnya Allah, Maha Agungnya, Maha Berkuasa melakukan apa sahaja ke atas diri kita, Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Menghukum, Maha Adil dan lain-lain sifat Tuhan. Inilah yang dikatakan rasa bertuhan. Manakala rasa kehambaan pula ialah merasa diri lemah, rasa diri tidak mampu, rasa tidak berkuasa apa-apa, rasa bodoh, rasa mengharap kepada Tuhan, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa hina dina, rasa cemas dan bimbang dan lain-lain. Antara usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai apa yang disebut di atas maka anak-anak remaja ini hendaklah: a. Dibawa berfikir tentang kekuasaan Allah. b. Dibawa berfikir tentang kehebatan Allah. c. Dibawa berfikir tentang kebaikan Allah. d. Dibawa berfikir tentang rahmat Allah serta nikmatNya. Banyak ayat Al Quran yang boleh membuka fikiran kita ke arah itu. Ayat-ayat itu yang kebanyakannya diturunkan di Makkah antaranya bertujuan: 1. Mendidik hati agar rasa rindu dengan Syurga Allah, rahmat-Nya, keampunan-Nya dan bantuan-Nya Misalnya: a. Khabar gembira dari Allah tentang kebaikan Syurga. b. Khabar gembira dan Allah tentang rahmat Allah yang tidak terhingga. c. Khabar gembira dari Allah tentang sifat keampunan Allah terhadap hambaNya yang bertaubat. d. Khabar gembira dari Allah tentang jaminan-Nya ingin membantu hambaNya yang bertaqwa. Bacakan selalu ayat-ayat Al Quran yang mengandungi khabar gembira di atas. Selain itu elok juga diceritakan sejarah orang-orang soleh dan kejayaan mereka. 2. Mendidik hati manusia agar merasa gerun dengan Neraka dan azab Allah Untuk mencapai ini, mereka hendaklah diingatkan selalu akan: a. Buruknya isi Neraka b. Dahsyatnya azab Neraka. c. Ugutan Allah terhadap orang yang menentang kebenaran. d. Kemurkaan Allah terhadap penderhaka hukum Allah. 3. Mendidik manusia agar melakukan amal soleh dan berakhlak mulia Ini boleh dilakukan dengan menceritakan kisah sejarah para nabi dan rasul serta orang soleh. Cerita-cerita itu boleh dijadikan panduan dalam beramal. Biasanya manusia akan berbuat sesuatu jika sudah ada contoh yang baik. Kalau begitu, didikan yang paling berkesan selepas menceritakan sejarah seperti itu ialah menunjukkan contoh teladan yang baik dari diri pendidik itu sendiri. 4. Mendidik manusia agar menghindari sifat-sifat jahat agar selamat dari api Neraka Untuk mendidik anak-anak ke arah ini, para pendidik bolehlah membaca sejarah orang yang menentang Islam dan Allah. Bagaimana mereka dihukum akibat menentang utusan Allah yang didatangkan kepada mereka, seperti kisah Firaun, Namrud, Qarun, Hamman. Jadi, pendidik adalah digalakkan membaca sejarah itu dan memperdengarkannya kepada anak didik mereka MEMBANGUNKAN FIZIKAL Setelah insan seorang Muslim itu terbina maka jiwa mereka mudah diperintah dan dilarang dengan sesuatu hukuman. Mereka mudah mematuhinya kerana jiwa mereka sudah bersedia memikul berbagai tanggungjawab. Dengan kata-kata lain mudahlah mereka mengamalkan syariat dan hukum-hakam Tuhan sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya. Di sini jika mereka melakukan segala tugas yang dibebankan itu, mereka akan melakukannya dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Mereka tidak lalai dan sombong dengan kebolehan yang ada. Dalam membina fizikal ini, mereka hendaklah dilatih dan didorong membuat sesuatu kerja mengikut bakat dan bidang masing-masing. Kerja yang dilakukan itu hendaklah pula diawasi agar tidak berlawanan dengan syariat Islam. Mereka boleh dilatih berniaga untuk melihat kejujuran dan amanah mereka, cara berurus niaga dengan betul dan cara melayan pelanggan. Mereka boleh dilatih mengajar, mengajar adik-adik dengan ilmu yang tepat. Mereka juga boleh dilatih menjadi jurubina, membuat rumah, juruelektrik dan lain-lain yang sesuai dengan umur mereka. Aktiviti ini selain menjadikan fizikal mereka cergas dan aktif, boleh juga mendidik hati dan diri mereka untuk mengamalkan ajaran Islam secara praktikal. Ini juga boleh memahamkan mereka bahawa ajaran Islam itu bukan sekadar menyuruh melakukan ibadah sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan zakat semata-mata malah segala aktiviti hidup juga boleh dijadikan ibadah. Selain itu para remaja akan dapat menimba pengalaman di bidang yang menjadi minat dan bakat mereka. Ini amat berguna sekiranya di masa hadapan mereka ingin mendalami di bidang tersebut. Para remaja ini adalah aset bangsa, agama dan negara. Oleh sebab itulah pendidikan sama ada di sudut insaniah mahupun lahiriah, amat penting untuk melengkapkan mereka sebagai pengganti perjuangan kita hari ini. Kaedah yang dibentangkan di sini jika dapat diikuti dengan baik pastilah akan melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan bertaqwa di samping berfikiran jauh, matang dan mantap. Ketika itu lahirlah masyarakat yang berakhlak mulia dan berbudi tinggi dalam sebuah negara yang aman makmur sebagaimana firman Allah: "Negara yang baik (makmur) dan mendapat keampunan Tuhan." (Saba': 5)