FAHAMI SYAHADAH UNTUK IBADAH YANG BERKESAN

Syahadah itu intipati dari Islam. Bila manusia sudah bersaksi bahwa Allah sebagai Tuhan, ertinya bukan mengaku begitu saja, tetapi mengakui seluruh sifat kesempurnaan Tuhan. Bukan saja mengaku, tetapi mesti faham dan yakin setidak-tidaknya 20 sifat yang wajib bagi Allah. Kalau begitu barulah dia akan menyembah dan beribadah kepada Tuhan kerana dia tahu dan faham bahwa Tuhan itu memang layak untuk disembah. Macamlah kita kenal seorang Raja yang ada kuasa, kita hormat kepada dia kerana kita tahu dan faham bahwa dia patut dihormati. Tetapi kalau kita hanya mendengar saja orang berkata bahwa dia itu raja, kita tidak kenal betul, tentu susah bagi kita untuk hormat dan mengabdi kepadanya. Kalau kita kenal dia itu raja, ketika kita berhadapan dengan dia terasa kita sedang berhadapan dengan raja. Secara otomatik hati kita terasa lain. Begitulah kalau kita faham bahwa Dia layak untuk menjadi Tuhan, maka akan terasa kebesaranNya. Tanpa kefahaman tentang Tuhan, hati kita tidak akan terasa apa-apa. Beribadah atau tidak beribadah, menyembah atau tidak menyembah Tuhan, hati rasa sama saja. Patutnya bila manusia faham, sebagai hamba dia akan terasa satu perasaan luar biasa yang tidak dapat dicerita. Kalau kita mengakui bahwa Allah adalah Tuhan kita yang Maha Agung dan Maha Besar, tentu kita akan terasa Dia patut disembah dan kita patut beribadah kepadaNya. Bukan untuk Dia, tetapi untuk kebaikan kita dan manusia lainnya. Untuk menyembah dan beribadah kepada Tuhan, Tuhan mengirimkan syariatnya melalui RasulNya. Kalau kita sudah mengaku bahwa Allah Tuhan kita dan Muhammad Rasul kita, ertinya kita sanggup bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Sebab itu faham itu penting. Setelah kita faham baru kita akan dapat menghayati. Kalau kita dapat menghayati ibadah dan penyembahan kita baru hati merasa lezat dan sedap mengikut perintah Tuhan. Sebab hati sudah terasa patut sangat kita menyembah dan beribadah kepada Tuhan. Sesama manusia saja kita dapat berbuat baik kerana ia banyak jasa dan kebaikan kepada kita, apalagi kepada Tuhan yang sudah memberi segalanya kepada kita. Katalah ibu ayah kita menyuruh kita mengaji dengan seorang ustaz, maka kita pun mengaji supaya pandai. Kita faham, itulah arahan ibu dan ayah kita, tetapi akan ada berbagai perasaan di hati. Kalau ustaz itu betul-betul ada wibawa, ada ilmu dan berakhlak, maka hati kita akan berkata patut ayah menyuruh aku belajar dengan dia, sebab dia nampak luar biasa. Tetapi kalau ibu ayah menyuruh kita mengaji dengan seseorang yang sedang belajar mengaji pula, maka hati kita terasa tidak dapat terima. Bagaimana aku mengaji dengan orang yang bacaan Qur'annya masih lemah dan belum lancar? Sebab itu penting kenal Tuhan dulu, kalau sekadar percaya Tuhan saja, tetapi tidak kenal bahwa Dia memberi kita rezeki, memberi oksigen, memberi berbagai nikmat, Dia Maha Kuasa, Maha Besar, Maha Agung, Maha Bijaksana, kita beribadah akan rasa terpaksa atau sekadar melakukan kewajiban saja. Hasilnya perangai dan akhlak manusia tidak berubah. Tidak mendorong untuk berbuat baik bagi masyarakat. Ibadahnya tidak dapat menjadi benteng baginya dari pada berbagai maksiat lahir dan batin, tidak menjadi pendorong baginya untuk menjadi orang soleh, pemurah, pemaaf, berkasih sayang, untuk takut dan cintakan Tuhan. Tetapi bila kita kenal, cinta dan takut kepadaNya barulah hati terasa lazat dan bahagia untuk menyembah dan beribadah kepadaNya. Dua kalimah syahadah itu ringkasan Islam. Bila orang sudah mengucapkannya ertinya segala ilmu mengenai Tuhan sudah sungguh-sungguh dipelajari, difahami dan dihayati. Kalau tidak menghayati Tuhan, tidak menghayati dua kalimah syahadat, tidak ada erti ibadah walau mengerjakan solat sunat 100 rakaat setiap malam. Solat dikerjakannya bukan untuk mencari cinta Tuhan tetapi kerana inginkan syurga atau takutkan neraka. Sebenarnya ini bukan satu kesalahan, tetapi tarafnya rendah. Dia tidak akan nampak dan terasa kebesaran dan kekuasaan Allah, sehingga perangai tak berubah. Walaupun pada dasarnya tidak salah, tetapi dia dapat membawa pada kesalahan, misalnya rasa selamat, rasa sudah beribadah, rasa diri baik, tidak pemurah, pemaaf, tidak berkasih sayang dan sebagainya. Padahal sifat-sifat baik tadi disuruh. Ada satu maksud hadis yang mengatakan jangan kita jalan di kawasan larangan, jalan di tepi-tepi tidak salah. Walau tidak salah tapi tidak disarankan mendekati jalan itu sebab bahaya, takut sekali-sekali terlanggar. Kerana itu walau tidak salah beribadah kerana fadhilat, kerana inginkan syurga atau kerana takutkan neraka, tetapi akhirnya dia akan membawa kepada maksiat lahir dan bathin juga. Sebab itu hadis ada berkata cukup 2 rakaat solat sunat tapi sangat berkesan pada peribadi. Dalam hadis lain disebut orang fasik yang pemurah lebih dicintai Tuhan dari pada abid yang bakhil. Sebab fasik-fasik pun ibadahnya berbuah, solatnya berbuah. Tetapi abid yang banyak ibadah tapi jahil, ibadahnya tidak berbuah. Bukan bererti orang fasik yang bakhil itu selamat, tetapi yang pemurah itu kesalahannya masih ringan dibanding abid yang bakhil yang ibadahnya tidak berbuah. PERINGKAT SYAHADAH Syahadah itu adalah apabila seseorang sudah sanggup naik saksi dan menerima ketuhanan dan kerasulan. Tetapi menerima setakat itu saja tidak cukup, dia mesti menerima bahwa pemimpinnya adalah Allah, Rasul dan orang mukmin. Bila kita sudah berucap dan menerima kesaksian maka kita mesti hidup dengan cara hidup menurut Allah dan Rasul. Kita mesti berkata pada diri kita, "aku adalah seorang yang perlu membela semua orang miskin. Siapa yang sudah bersaksi tiada Tuhan selain Allah, mestilah suka menolong orang miskin dan berbuat kebaikan bagi orang lain". Peringkat pertama adalah untuk memahami secara ilmu tentang Allah dan RasulNya. Selepas itu, kita dididik untuk berakhlak terhadap sesama makhluk, sampai tukang kebun buruh atau golongan masyarakata lain yang memerlukan pembelaan yang kita tidak kenalpun kita masukkan ke dalam tugas kita untuk membela mereka. Itulah diantara akibat kita sudah menerima Allah dan RasulNya. Bila diuji Allah, kadangkala membuatkan seseorang tidak senang dan bertanya-tanya dengan Allah, mengapa dia diuji sedemikian rupa. Sebenarnya hal ini sudah hampir menjadi syirik khafi (syirik tersembunyi). Tetapi bila dia mengucap balik maka Insya Allah dia selamat. Jadi syahadah itu seolah merupakan pembaharuan ikrar bahwa kita sebenarnya tidak mahu sombong, ego, bakhil, riyak, ujub, pemarah, bangga dan lain-lain. Jadi syahadah itu dalam kehidupan sehari-hari ada 3 kategori: 1. Kalimah toyyibah 2. Cara hidup yang suka menolong orang 3. Bila kita syahadah ertinya kita mengaku di hadapan Allah yang kita ini hamba yang hina dan lemah yang akan redho dengan ketentuanNya, tidak bangga dan sombong bila mendapat kejayaan atu dipuji orang, sebab kalau bangga sudah syirik khafi. Di akhir bagian solat kita mengucapkan ikrar kembali di hadapan Allah kerana dalam kehidupan kita mungkin sudah ada perkara tauhid yang kita langgar. Itulah syahadah yang dihayati yang memberi kesan ke dalam kehidupan sehari-hari. Bila kita sudah berucap mengakui Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai RasulNya ertinya kita sudah berjanji untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Sunnah ini ertinya mengikut perjalanan Rasulullah. Rasul itu apa sunnahnya? Rasul itu dia mencintai Allah, takut dan mengabdikan diri pada Allah, maka lahirlah side effect yang luar biasa. Contohnya bila Rasulullah SAW melihat orang susah maka dia akan membantu. Mendengar orang miskin, dia selalu ingin menolong. Mendengar tetangga kelaparan dia tidak tunggu diminta, terus akan memberi bahkan beliau sanggup berhutang kerana ingin membantu orang susah. Bila mendengar orang buat jahat kepadanya, dia akan balas dengan berbuat baik. Itulah sunnah Rasulullah yang beliau sebut barang siapa yang menegaakkan sunnah Rasul di kala kerusakan umat rasul, maka pahala baginya 100 x syahid. Tetapi kita masih jauh dari itu. Jangankan untuk berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, bahkan untuk berbuat baik dengan orang yang buat baik pada kita-pun sangat berat. Padahal itu sunnah Rasul. Salah satu sunnah Rasul juga adalah, beliau tidak akan makan selagi tidak ada orang lain yang makan bersamanya, walaupun ketika itu beliau sangat lapar. Kalau beliau pergi ke pasar beliau akan belikan orang lain juga atau kalau beliau pergi ke warung makan beliau akan bayarkan orang lain juga. Rasulullah itu, orang yang bersalah padanya walau tidak meminta maaf pada dia, Rasulullah sudah maafkan, apalagi kalau orang itu meminta maaf. Itulah sunnah yang sudah menjadi budaya hidup. Kalau itu belum kita buat lagi, apa yang dimaksudkan dengan Islam sebagai cara hidup? Kalau terbatas hanya di masjid saja, itu bukan sebagai cara hidup. Apa makna memberi salam kepada sekalian makhluk di sebelah kanan dan sebelah kiri kita di akhir solat kita? Itulah intipati solat. Ertinya setelah solat kita akan mengusahakan keselamatan bagi seluruh makhluk di alam ini. Sebenarnya solat dan ibadah kita tidak memberi kesan apa-apa kepada Allah. Walaupun seluruh manusia di muka bumi solat menyembah Allah, kesempurnaan Allah tidak bertambah dan walaupun seluruh manusia di muka bumi ini tidak mahu solat atau beribadah kepada Allah, kesempurnaan dan darjat Allah tidak akan berkurang. Maksudnya kita menyembah Allah itu bukan untuk memberi manfaat kepada Allah, tetapi untuk mencari keredhaanNya. Kesannya adalah kita akan mengusahakan dan memberi keselamatan kepada seluruh manusia dan makhluk yang ada di alam ini. Kalau semua orang berbuat seperti ini maka akan lahirlah masyarakat yang aman, damai, harmoni, makmur dan mendapat keampunan Tuhan.
PUISI : TERTIPU DENGAN IBADAH Ramai orang yang beribadah takutkan Tuhan tidak ada di dalam hati Cintakan Tuhan apatah lagi Seolah-olah ibadah itu tidak ada hubungan dengan Tuhan Ibadah sekadarkan hendak pahala dan fadhilat atau takut Neraka Kerana itulah ramai ahli ibadah melanggar syariat Hidupnya tidak berdisiplin, akhlak mereka rosak, mazmumah masih bermaharajalela Oleh itu dipandang oleh orang yang bukan Islam, Islam itu tidak indah Apatah lagi ahli-ahli ibadah itu apabila diuji dengan kesusahan nampak tidak sabarnya Tawakkalnya tidak ada, bakhil, tamak, pemarah, terserlah di dalam kehidupan mereka Kadang-kadang di dalam perbualan nama Tuhan kurang sangat disebut Yang disebut ibadahnya dan kehidupannya Syariat pun disebut sekitar ibadah sahaja Bukan syariat di dalam kehidupan yang lebih global dan menyeluruh Kerana itulah ahli-ahli ibadah orang tidak jatuh hati dengan mereka Ibadah mereka tidak membawa mereka kepada sifat taqwa Golongan ini termasuk orang yang tertipu dengan ibadah mereka