PERANAN DAN KESAN TAQWA

Taqwa secara umumnya adalah perkara yang telah lama hilang dari umat Islam. Ia berlaku sejak tujuh ratus tahun dahulu bermula dari kejatuhan empayar Islam. Sebab itu, mulai peristiwa tersebut, umat Islam terhina di mana-mana. Bukan kita tidak berjuang, bukan kita tidak berbuat, bukan kita tidak berusaha dan bukan kerana kita tidak berani tetapi hasil yang kita dapat dari perjuangan dan usaha kita itu tidak padan dengan tenaga yang kita curahkan dan tidak berbaloi. Ibarat orang menanam padi beratus ekar, hasilnya hanya beberapa guni sahaja sedangkan dalam Islam ada kaedah untuk mendapat hasil yang berlipat ganda. Kita boleh tanam padi satu ekar tetapi hasilnya berpuluh-puluh guni. Inilah rahsia tersirat yang mesti kita bongkar. Kita kena kaji kenapa ada orang menanam sedikit tetapi hasilnya banyak. Dan ada pula orang menanam banyak tetapi hasilnya sedikit. Umat Islam mesti mengubah cara berfikir. Kita mesti tanam cita-cita Tuhan dan cita-cita Rasul dan hendaklah kita berfikiran luas. Kita mesti ingat bahawa dalam ajaran Islam, syariat mahupun bantuan yang datang dari Tuhan ada yang berbentuk lahir dan ada yang berbentuk batin. Selama ini kita hanya tahu dan mengkaji yang lahir sahaja. Kalaupun kita dapat bantuan dari Allah, kita hanya dapat yang berbentuk lahir iaitu yang sedikit sahaja. Hanya setakat 10% maksimum. Bantuan yang bersifat batin dan ghaib yang nisbahnya sebanyak 90% kita tidak dapat. Padahal inilah kelebihan umat Islam terdahulu di zaman Sahabat, Tabiin, Tabit Tabiin dan para salafussoleh. Mereka banyak dibantu dengan bantuan-bantuan batin dan bantuan-bantuan ghaib. Mereka tahu rahsianya dan mereka tahu kaedahnya. Iaitu mereka bersandar kepada Allah dengan mengusahakan dan menjadi orang yang bertaqwa. Mereka hanya berbuat 10%. Yang 90% lagi Allah yang cukupkan. Banyak ayat dan Hadis yang menceritakan tentang hal ini dan tentang janji-janji Tuhan kepada orang-orang yang bertaqwa. Disebut bahawa orang bertaqwa rezekinya diberi tidak tahu dari mana sumbernya. Dilepaskan dia dari masalah hidup. Diberi ilmu dan dipermudahkan urusan dan berbagai-bagai lagi. Kemudian waktu susah, waktu darurat, waktu tercabar walaupun berlaku juga ujian untuk didikan tetapi tidak berlamalama. Tuhan akan beri jalan kepada orang bertaqwa untuk terlepas dari ujian itu. Di situ ada dua maksud. 1. Bagi orang bertaqwa, ujian yang mencemaskan adalah untuk mendidik. Dalam cemas ada didikan. 2. Selepas itu, Tuhan cepat lepaskan dia dari ujian itu supaya terasa bantuan Tuhan. Itu hiburan bagi orang bertaqwa supaya mereka dapat bersyukur. Kesusahan itu berbagai-bagai bentuk. Kesusahan sakit, musibah, musuh mencabar dan lain-lain lagi. Kalau ada bala bencana di tempat kita, itu juga kesusahan. Kalau waktu itu ada orang jahat dan baik, kita boleh lihat orang baik cepat dilepaskan dari kesusahan itu. Orang jahat mungkin selepas itu akan bertimpa-timpa lagi kesusahan. Didatangkan berkat pada orang bertaqwa dalam berbagai aspek sama ada pada harta, keluarga, perjuangan, pendidikan, kebudayaan, pentadbiran dan lain-lain. APAKAH BERKAT? Berkat itu ialah bertambah atau tambahan di atas apa yang ada (ziadah). Benda yang tidak ada kemudian jadi ada tidak dikatakan bertambah. oleh itu ia tidak dinamakan berkat. Benda yang sudah ada datang lagi dua tiga, baru dikatakan bertambah. Itulah berkat. Ini mesti difahami. Kalau tidak diterjemahkan, takut-takut tidak difahami falsafahnya dan seni-seninya. Maksudnya kalau hendak dibantu di bidang pendidikan, kebudayaan dan lain-lain, kita mesti buat asasnya dahulu. Itulah dia usaha 10%. Selepas itu, bila ada iman dan taqwa, baru datang berkat. Tuhan akan datangkan berkat (tambahan) di bidang-bidang itu dengan syarat ada asasnya. Bila berlaku tambahan yang tidak diduga, itu menunjukkan ianya bukan hasil dari usaha kita lagi. Itulah berkat. FAEDAH DAN KEBAIKAN TAQWA Faedah dan kebaikan sifat taqwa bagi diri orang yang bertaqwa ada banyak. Di antara kebaikan taqwa itu: 1. Menghapuskan dosa 2. Memberi syafaat 3. Benteng dari maksiat 4. Pemangkin dan kekuatan untuk membangunkan syariat 5. Membunuh rasa ‘Hubbud Dunia’ atau cinta dunia 6. Membakar dan mencairkan mazmumah 7. Menyuburkan mahmudah KESAN JIKA TIDAK ADA ORANG YANG BERTAQWA Yang ada dan yang ramai di seluruh dunia hari ini sebenarnya ialah orang Islam. Sebab itulah berlaku huru-hara, kacau-bilau, berzina, krisis, rasuah, minum arak dan tidak ada kasih sayang. Sebab orang mukmin dan orang bertaqwa belum wujud. Kalau ada pun, mereka itu minoriti. Jumlah mereka belum dapat memberi kesan. Kalau kita baca Quran dan Hadis, kita akan dapati bahawa orang Islam itu tidak ada jaminan dia akan dibantu Allah. Tidak ada jaminan Syurga. Yang dijamin itu hanya orang mukmin dan orang bertaqwa. Kita semua sudah baca ayat Quran bagaimana Allah akan tolong orang bertaqwa. Di antaranya, orang bertaqwa itu akan dilepaskan dari masalah hidup, diberi rezeki, dipermudahkan urusan, dibela dan dibantu, diajar oleh Allah dan lain-lain lagi. Dalam ayat lain, Allah berfirman: Maksudnya:“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96) Orang bertaqwa akan diberi keamanan, dijauhkan dari ke-takutan, dihindarkan dari bala bencana, dimakmurkan, diikat dengan kasih sayang hingga boleh bersatu padu. Sebab itu, Allah dalam ayat yang lain menyebut: Maksudnya: “Berhak atas Kami membantu orang mukmin.” (Ar Rum: 47) Allah menyebut bahawa Dia hendak bantu orang mukmin. Tidak ada satu ayat pun yang Tuhan kata, Dia hendak bantu orang Islam. Baru kita faham mengapa umat Islam hina. Bagi orang Islam, tidak ada jaminan untuk dapat apa-apa bantuan dari Tuhan walaupun sudah beribadah 24 jam sehari. Umat Islam hina sebab orang mukmin dan orang bertaqwa tidak ada. Kalau ada pun, sedikit. Kalau kena bala, sama-sama akan kena, tidak kira Islam, mukmin atau orang bertaqwa. Orang bertaqwa dikatakan orang Tuhan. Bila jadi orang Tuhan, maka Tuhan jamin kemenangan, keselamatan, ke-sihatan, makan minum dan lain-lain. Tuhan akan beri kejayaan. Tuhan akan datangkan malaikat, jin-jin Islam dan roh-roh muqaddasah untuk membantu perjuangan, dakwah, ekonomi, pendidikan dan dalam semua hal dan urusan. Kalau ada sekelompok orang yang bertaqwa, walaupun tidak ramai, dunia ini Tuhan akan serahkan kepada mereka. Allah SWT berfirman: Maksudnya:“Akan Aku wariskan bumi ini kepada ham-ba-hamba-Ku yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105) Di sisi Tuhan, hanya ada dua golongan sahaja yang diberi kuasa besar (super power) yang menguasai muka bumi ini yang mengatasi kuasa-kuasa yang lain. Dua golongan ini ialah golongan kafir dan golongan orang-orang yang bertaqwa. Selain dari dua golongan ini, tidak ada golongan lain yang diizinkan Tuhan untuk menguasai dunia ini. Termasuk golongan yang tidak diizinkan Tuhan itu ialah golongan orang-orang Islam kerana keimanan dan pengamalan syariat mereka lemah. Mereka beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengahnya. Mereka mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran yang batil. Mereka lemah bermujahadah dan tidak mampu melawan hawa nafsu mereka. Justeru itu, mereka tidak dapat menyucikan hati-hati mereka dari segala sifat-sifat mazmumah. Yang lebih penting, hubungan mereka dengan Tuhan longgar. Mereka kurang cinta dan kurang takut dengan Tuhan. Mereka kurang berharap dan kurang menyerah kepada Tuhan. Kalau mereka berkuasa, mereka tidak akan menjalankan hukum-hakam dan syariat Tuhan. Mereka tentu akan berlaku zalim. Yang beratnya, mereka akan berlaku zalim atas nama Islam dan atas nama Tuhan. Apabila golongan orang-orang bertaqwa tidak wujud di muka bumi, Allah akan serahkan kuasa di dunia ini kepada golongan kafir. Akan tetapi, jika golongan orang-orang bertaqwa sudah muncul, maka Allah akan pindahkan kuasa dunia ini dari golongan kafir kepada golongan orang-orang bertaqwa. Golongan bertaqwa lebih berhak menguasai dunia ini daripada golongan kafir. Oleh itu, jika umat Islam mahu menguasai dunia dan mahu menaungi bangsa-bangsa lain, hanya satu jalan sahaja yang ada iaitu dengan mengusahakan taqwa. Bukan dengan mengusahakan kekuatan lahir seperti ekonomi, teknologi, pembangunan, kekuatan tentera dan lain-lain. Golongan kafir lebih hebat dan lebih maju dalam bidang-bidang itu. JANJI TUHAN UNTUK ORANG BERTAQWA Menjadi seorang muslim atau seorang yang Islam belum lagi dapat jaminan dari Allah. Allah belum jadi pembela. Menjadi orang Islam semata-mata belum ada jaminan dari Allah akan diampunkan dosanya. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan dari Allah yang amal ibadahnya akan diterima. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan yang Allah akan memberi bantuan. Menjadi seorang muslim atau seorang Islam itu mudah. Apabila sudah mengucap dua kalimah syahadah maka tetaplah seseorang itu Islam. Dia tidak boleh dianggap kafir. Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu sudah sembahyang, berpuasa dan naik haji, kita tidak boleh menuduh orang itu kafir. Dia termasuk dalam golongan orang Islam tetapi belum tentu dia seorang yang beriman atau bertaqwa. Setelah menjadi orang bertaqwa baru ada jaminan dan pembelaan dari Allah di dunia dan juga di Akhirat. Bila jadi orang bertaqwa barulah dosa diampunkan. Bila jadi orang bertaqwa barulah amal ibadah diterima. Bila jadi orang yang bertaqwa barulah dapat pimpinan dari Allah. Secara langsung Allah jadi pemimpinnya. Bila menjadi orang yang bertaqwa, rezeki datang tidak tahu dari mana sumbernya. Bila menjadi orang yang bertaqwa Allah permudahkan urusan dan kerja-kerjanya. Buat kerja sedikit, hasilnya banyak. Kalau buat banyak, lebih banyaklah hasil yang akan diperolehi. Ini telah pun dijelaskan oleh Allah melalui beberapa firman-Nya seperti berikut: Maksudnya: “Barangsiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3) Di sini Allah berkata ‘barangsiapa yang bertaqwa’ bukannya ‘barangsiapa yang Islam’. Maksudnya:“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.” (AtAThalaq: 4) Sekali lagi Allah berkata ‘barangsiapa yang bertaqwa’ bukannya ‘barangsiapa yang Islam’. Kalau buat kerja sedikit, akan dapat hasil yang banyak. Maksudnya: “Allah menjadi pembela bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19) Jelas sekali orang bertaqwa Allah akan bela dan bantu secara langsung. Dalam ayat ini juga Allah tidak menyebut menjadi pembela dan pembantu bagi orang Islam sebaliknya menjadi pembela dan pembantu bagi orang yang bertaqwa. Maksudnya:“Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27) Maksudnya:“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96) Jelas Allah berkata ‘beriman dan bertaqwa’ bukannya setakat ‘Islam’. Kalau beriman dan bertaqwa, Allah akan buka berkat dari langit dan bumi. Maka sudah tentunya kehidupan orang yang bertaqwa akan aman damai, berkasih sayang, mesra, selamat sejahtera, tidak ada gangguan, penuh harmoni dan indah. Di dunia lagi sudah dapat Syurga yang didahulukan dan pastilah di Akhirat akan menanti Syurga hakiki yang kekal abadi. Banyak lagi ayat-ayat yang memberitahu kita bahawa se-telah seseorang atau sesuatu bangsa itu menjadi orang atau bangsa yang bertaqwa, barulah akan dapat pembelaan dari Allah. Kalau hanya setakat Islam, tidak ada jaminan akan dapat pembelaan dari Allah di dunia mahupun di Akhirat. Inilah yang berlaku kepada seluruh umat Islam di dunia hari ini. Rata-rata umat Islam adalah orang muslim atau orang Islam dan bukan orang yang bertaqwa. Sebab itu tidak ada pembelaan dari Allah. Bila tidak ada pembelaan dari Allah, lihatlah apa yang sedang berlaku pada umat Islam. Hidup tidak bersatu padu, musuh menekan, hina-dina, miskin, mundur, merempat, menjadi hamba orang, susah dan tersingkir di mana-mana. Bilangan mereka ramai tetapi tidak berguna macam buih di laut. Walaupun buih sebesar gunung, mancis api jatuh pun ia boleh pecah berkecai. Umat Islam dikeronyok di mana-mana oleh musuh kafir macam anjing mengkeronyok bangkai. Umat Islam tidak ada daya upaya untuk melawan dan mempertahankan diri. Jadi, sekadar menjadi seorang yang Islam sahaja kita tidak boleh berbangga sebab masih belum ada jaminan dan pem-belaan dari Allah. Oleh itu kita mesti jadi orang yang bertaqwa. Barulah jaminan dan pembelaan dari Allah akan diperolehi sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Hendak mendapat bantuan dan rahmat Tuhan, Tuhan sebut di dalam Al Quran, “Wamai yattaqillah”. Ertinya kita kena bertaqwa. Ada tiga peringkat orang yang baik hubungannya dengan Allah. 1. Soleh 2. Taqwa 3. Siddiqin Tetapi Tuhan ambil yang tengah iaitu orang bertaqwa untuk diberi bantuan. Tuhan tidak janjikan bantuan kepada orang soleh kerana rendah sangat. Tuhan juga tidak janjikan bantuan kepada orang siddiqin kerana mungkin tinggi sangat. Tidak ramai nanti yang akan mendapat bantuan kerana orang siddiqin itu sedikit. Namun orang soleh boleh mendapat bantuan Allah dengan bersandarkan kepada orang yang bertaqwa. Senjata umat Islam yang utama untuk menjayakan per-juangan mereka ialah iman dan taqwa. Inilah satu-satunya senjata yang tidak ada pada orang kafir. Dengan senjata ini sahajalah kita boleh kalahkan orang-orang kafir atau munafik yang hendak menghancurkan kita dan musuh batin kita iaitu nafsu dan syaitan. Selain taqwa, dengan kekuatan apa sekalipun, baik ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi, ketenteraan dan senjata, pasti kita tidak akan mampu menentang kegagahan musuh-musuh Allah yang jauh lebih hebat dari kita. Taqwa adalah faktor paling utama dalam memperolehi bantuan Allah SWT. Bantuan Allah kepada orang yang bertaqwa ini berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Lazimnya bentuk bantuan yang Allah datangkan itu mengikut keperluan semasa dan mengikut peranan seseorang. Ertinya bantuan Allah bagi orang yang bertaqwa itu berbeza menurut keperluan dan peranan. Bagi pendakwah yang bertaqwa, bantuan yang Allah turunkan berbeza dengan pemimpin yang bertaqwa. Dan bantuan itu berbeza pula dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik yang bertaqwa. Kalau dalam medan perang, Allah bantu dengan menu-runkan para malaikat beribu-ribu banyaknya untuk mengalahkan orang kafir. Bagi seorang peniaga yang bertaqwa, mungkin dapat untung yang berlipat ganda. Atau wangnya terselamat kerana ada berkatnya. Keluarganya sentiasa sihat, keretanya jarang rosak, duitnya tidak membazir dan sering tersalur ke arah amal jariah atau kepada berbagai bentuk kebajikan. Seorang pendakwah yang bertaqwa pula, ilham atau ideanya mencurahcurah, penyampaiannya berhikmah dan menarik, yang mendengar mudah lembut hati, yakin dan terdorong untuk beramal. Pendakwah yang tidak bertaqwa, dia terpaksa memaksa diri untuk memerah otak mencari dan mengumpulkan bahan dakwah. Dia terasa sukar dan sering merasa jemu. Dakwahnya tidak menginsafkan orang dan tidak membawa perubahan kepada masyarakat. Tetapi kalau di medan perjuangan dan tarbiah, Allah beri bantuan dengan cara lain pula. Antaranya: 1. Ilmu yang bermanfaat Allah ilhamkan ilmu-ilmu yang bermanfaat yakni ilmu dalam cara menarik orang, ilmu dalam bertindak, ilmu untuk melaksanakan ekonomi Islam, menegakkan kilang-kilang Islam, sekolah Islam dan lain-lain ilmu praktikal untuk mewujudkan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Ilmu begini telah Allah kurniakan pada umat Islam zaman dahulu terutamanya di zaman para Sahabat dan para salafussoleh. Sebab itu, mereka boleh membangun dan menawan tiga perempat dunia. Bangunan yang dibina oleh umat Islam, istana Al Hambra di Sepanyol misalnya, tahan kukuh sehingga kini setelah berumur tujuh ratus tahun sedangkan binaan orang sekarang baru dua puluh tahun sudah roboh. Itulah ilmu ilham yang diberi oleh Allah kepada orang soleh. Ilmu yang datang langsung dari Allah berdasarkan firman-Nya: Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282) Begitu juga sistem perairan dalam bangunan-bangunan yang dibina oleh umat Islam tujuh ratus tahun dahulu. Hingga kini, pakar sains dan teknologi tidak mampu menirunya. Misalnya salah satu paip air dalam istana Al Hambra yang boleh mengeluarkan air dengan sendirinya bila masuk waktu sembahyang telah pernah diselidik oleh orang Barat untuk mengetahui rahsianya. Hasil penyelidikan itu, paip itu rosak terus dan mereka tidak boleh memperbaikinya semula apatah lagi untuk membina paip yang baru. Itulah ketinggian teknologi orang soleh. 2. Ilmu Firasat Iaitu rasa hati yang tepat hasil dari sifat taqwa. Ini amat perlu supaya pejuang Islam dapat bertindak tepat pada waktu dan ketikanya dalam menghadapi ragam musuh. Misalnya, musuh sudah siap sedia untuk menabur fitnah tentang kita. Maka Allah akan ilhamkan pada hati suatu tindakan yang boleh membuatkan musuh berhenti dari niat jahatnya, contohnya dengan menghantar surat pada musuh bahawa kalau dia buat fitnah, kita akan dedahkan berita skandal mereka yang ada dalam simpanan kita. Misalan lain ialah bila musuh bercadang hendak mengambil tindakan untuk mengacau kampung kita maka Allah akan ilhamkan supaya kita keluar segera dari kampung kita itu. Ilmu firasat juga penting untuk mendidik ahli-ahli yang berbeza-beza sifat mazmumahnya. Supaya semuanya dapat dididik untuk menjadi orang soleh dan bertaqwa. Firasat dinamakan juga ‘kasyaf ilmu’ atau rasa hati. Iaitu ilmu laduni atau ilham yang jatuh terus ke hati. Di situ tidak ada gangguan atau campurtangan nafsu dan akal. Firasat adalah ilmu dari langit. Orang yang ada firasat dikatakan muhaddasin (orang yang dibisikkan). Firasat sangat tajam. Dengan firasat, seseorang itu boleh membaca hati orang. Dia boleh dapat ilmu yang menyegarkan hati dan jiwa. Firasat adalah untuk orang-orang yang sudah sampai ke tahap Rohul Muqaddasah (roh yang suci), Rohul Toyyibah (roh yang baik) dan Nafsun Zakiyyah (nafsu yang bersih). Adapun kasyaf mata hati seperti nampak benda di sebalik tabir, nampak alam jin, nampak sifat-sifat haiwan yang ada pada manusia, nampak alam malaikat dan sebagainya, tidak ada nilai apa-apa,hanya nampaksahaja. Tidak dapat apa-apa ilmu. Orang kafir dan orang jahat pun boleh dapat kasyaf yang seperti ini. Itulah firasat namanya, satu rasa hati yang kuat mendesak agar kita membuat sesuatu yang kadang kala di luar logik fikiran manusia. Ilmu inilah yang telah menguatkan perjuangan umat Islam dahulu. Mereka boleh serang musuh dengan cara yang membingungkan mereka. Mereka bertindak seolah-olah mereka tahu rancangan musuh. Sebab itu musuh tidak boleh buat apaapa pada mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya: Maksudnya: “Takutilah firasat orang mukmin kerana mereka melihat dari cahaya Allah.” (Riwayat Tarmizi) DOSA MENGHIJAB BANTUAN TUHAN Kegagalan yang Allah timpakan kepada kita satu persatu itu sebenarnya adalah satu pemberitahuan bahawa kita telah tidak ditolong Allah. Allah biarkan kita dan Allah hinakan kita kerana kita tidak mahu bertaqwa, banyak dosa dan tidak mahu bertaubat di samping tidak mahu belajar dari kesilapan. Dosadosa itulah yang menjadikan kita tewas di tangan musuh. Sedangkan orang bertaqwa, ujian yang berat merupakan baja untuk menyuburkan perjuangan mereka. Tetapi bagi kita, ujianujian itu menghina dan tambah melemahkan kita. Makin berjuang makin lemah. Makin berjuang makin kalah. Bukankah itu ertinya perjuangan kita tidak dibantu oleh Allah. Kenapa Allah biarkan kita? Berkata Sayidina Umar Al Khatab: “Aku lebih takut pada dosa kamu daripada musuh-musuh kamu. Kerana bila kamu berdosa, Allah akan biarkan kamu kepada musuh-musuhmu.” Maknanya, kegagalan kita ialah kerana dosa-dosa kita. Dosadosa kita adalah kerana kita tidak bertaqwa. Ertinya salah itu terletak pada diri kita sendiri bukan pada orang lain. Dan selagi kesilapan itu tidak dibetulkan, selagi kita tidak bertaubat dan selagi kita tidak dididik dan dilatih dengan iman dan taqwa, buatlah macam mana pun, insya-Allah, kita tidak akan boleh menang. Sebab kita sudah melanggar syarat dari Allah iaitu syarat taqwa. Janganlah kita buat helah dan berdalih itu dan ini untuk dijadikan alasan kegagalan kita itu. Mengakulah dengan Allah bahawa kita belum bertaqwa sebab itu Allah tidak tolong. Itu punca dan sebab yang sebenarnya. Kalaupun kita ada banyak alasan untuk kalah, kalau kita benar-benar bertaqwa, kita tetap akan Allah menangkan. Allah hanya akan menolong orang yang bertaqwa. Firman-Nya: Maksudnya:“Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19) Firman-Nya lagi: Maksudnya:“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sum-bernya.” (At Thalaq: 2-3) Firman-Nya lagi: Maksudnya:“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96) Allah SWT memberi jaminan kepada para Sahabat di atas ketaqwaan mereka dalam firman-Nya. Maksudnya: “Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (Al Anfal: 65) Peperangan Badar menyaksikan 313 orang para Sahabat mengalahkan 1,000 orang musuh. Tetapi hari ini, umat Islam ketawa kalau kita katakan tentang hal-hal begini. Karut, kata mereka. Tidak logik. Tidak rasional dan lain-lain lagi. Umat Islam sendiri rasa tidak yakin dan tidak ghairah dengan Allah, dengan Rasulullah, dengan malaikat, dengan rijalullah, rijalulghaib, dengan mati, kubur, hari Kiamat, Syurga dan Neraka. Soal cinta Allah, rindukan Allah, malu pada Allah, takutkan Allah, tawakal, redha, sabar, syukur dan hina diri pada Allah sangat jauh dari perbincangan dan pemikiran umat Islam, apalagi untuk dijadikan amalan rohani mereka. Demikianlah taqwa itu jadi syarat terpenting dalam menegakkan hukum Allah. Sebab itu, Rasulullah sebelum berperang, selalu mengingatkan tentera Islam supaya yakin dengan Allah dan takutkan dosa. Kalau kita berjuang atas nama Islam, kita mestilah terima syarat ini dan melaksanakannya. Barulah betul kita buat kerja Allah. Dan terhindarlah kita dari sikap memandai-mandai. Tetapi kalau kita perjuangkan Islam dengan cara yang kita fikirkan oleh otak kita, dan dengan kaedah yang kita cipta sendiri ertinya kita berjuang kerana kita, bagi pihak kita dan bukan kerana Allah dan bagi pihak Allah. Kalau ini berlaku, Allah akan berlepas diri dari kita dan tidak ada apa-apa lagi keistimewaan pada perjuangan itu kerana ia tandus dari satu tenaga yang luar biasa yakni bantuan Allah. TAQWA ADALAH BEKALAN DUNIA DAN AKHIRAT Seperti mana yang kita maklum, taqwa adalah satu aset yang amat penting untuk dunia dan untuk Akhirat. Kemenangan dunia dan Akhirat ditentukan oleh taqwa. Kejayaan dunia dan Akhirat ditentukan oleh taqwa. Keselamatan dunia dan Akhirat ditentukan oleh taqwa. Jadi taqwa itu sangat mahal. Bila dikatakan taqwa itu sangat mahal maka banyaklah perkara yang perlu kita tahu. Kalau di dunia ini banyak perkara yang kita hendak cari, maka taqwa adalah pencarian yang utama yang patut diutamakan. Yang lain hanya sampingan-sampingan sahaja. Bahkan yang sampingan itu juga patut kita jadikan sebahagian daripada amal taqwa. Kalau kita faham tentulah begitu sikap kita sebab taqwa itu sangat perlu untuk dunia dan Akhirat. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197) Di dalam ayat ini, sifat taqwa sebagai bekalan itu tidak dikhususkan untuk bekalan Akhirat sahaja. Sifat taqwa juga adalah bekalan untuk dunia. Tapi ramai para muallim dan tok-tok guru menghuraikan sifat taqwa itu sebagai bekalan di hari Akhirat semata-mata. Walaupun Akhirat itu adalah yang terpenting dan yang asas tetapi banyak dalil yang membuktikan bahawa taqwa itu adalah juga bekalan untuk dunia. Di antara dalil-dalil bahawa sifat taqwa itu bekalan untuk Akhirat adalah seperti firman Allah SWT: 1. “Akan tetapi orang-orang yang bertaqwa ke-pada Tuhannya bagi mereka Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Ali Imran: 198) 2. “Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan melipatgandakan pahala baginya.” (At Thalaq: 5) 3. “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari Kiamat.” (Al Baqarah: 212) 4. “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada Syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133) 5. “Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Mar-yam: 63) 6. “Untuk orang-orang yang bertaqwa, pada sisi Tuhan mereka, ada Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya.” (Ali Imran: 15) 7. “Dan didekatkanlah Syurga itu kepada orang-orang yang bertaqwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).” (Al Qaf: 31) 8. “Dan sesungguhnya kampung Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al An’am: 32) 9. “Ini adalah kehormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa benarbenar disediakan tempat kembali yang baik.” (Sod: 49) 10. “Teman-teman akrab pada hari itu, seba-hagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (Az Zukhruf: 67) 11. “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air, masuklah mereka ke dalamnya dengan selamat dan sentosa.” (Al Hijr: 45-46) Di antara dalil-dalil bahawa sifat taqwa itu bekalan untuk dunia pula adalah seperti firman Allah SWT: 1. “Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19) 2. “Sebenarnya, siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76) 3. “Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27) 4. “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di Akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah.Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64) 5. “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al Anfal: 29) 6. “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96) 7. “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105) 8. “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3) 9. “Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282) 10. “Dan adapun kaum Tsamud maka mereka telah pun Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu. Maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa.” (Fusshilat: 17-18) 11. “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.” (At Thalaq: 4) 12. :“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepada kamu.” (Ali Imran: 120) Antara Keistimewaan Bagi Orang Bertaqwa Di Akhirat 1. Dipadamkan dosa 2. Ditinggikan darjat 3. Diwariskan Syurga 4. Didekatkan Syurga 5. Disediakan Syurga bertaraf tinggi 6. Ditambatkan hati sesama mereka 7. Terhindar dari Neraka Antara Bantuan Kepada Orang Bertaqwa Di Dunia 1. Diberi pembelaan dan bantuan 2. Dibukakan berkat dari langit dan bumi 3. Diwariskan bumi ini 4. Dilepaskan daripada masalah hidup dan kesusahan 5. Diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga 6. Diajar dan diberi ilmu 7. Dipermudahkan segala urusan 8. Dilindungi dari kejahatan musuh 9. Dilepaskan dari bencana 10. Diberi kejayaan 11. Diberi kemenangan 12. Tidak dapat ditipu oleh musuh lahir dan batin 13. Allah SWT mengasihinya 14. Diterima amalannya 15. Diberi khabar gembira 16. Dipelihara dari kebatilan 17. Kerja-kerjanya dibaiki oleh Allah 18. Makhluk takut dan segan dengannya LANDASAN BANTUAN BAGI ORANG BERTAQWA Jalan dan landasan untuk mencapai kejayaan di dunia bagi orang mukmin adalah taqwa. Orang mukmin tidak ada landasan lain selain taqwa. Dengan taqwa, orang mukmin dibantu Tuhan. Untuk berjaya dalam ekonomi perlukan taqwa. Hendak dapat kemenangan dalam perjuangan mesti dengan taqwa. Hendak terlepas dari azab, penderitaan dan bala bencana di dunia mesti dengan sifat taqwa. Hendak dapat bantuan dan pertolongan Tuhan juga mestilah berdasarkan taqwa. Di sini kita lihat bahawa bukan sahaja taqwa itu penting untuk keselamatan dan kebahagiaan di Akhirat tetapi bagi orang mukmin, mereka juga mendapat bantuan, rahmat, berkat, kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan di dunia lagi dengan adanya sifat taqwa. Taqwa adalah modal yang paling besar dan senjata yang paling ampuh bagi orang-orang mukmin di dunia. Kalau tidak ada taqwa, mungkin Allah bantu juga seperti Allah bantu orang-orang kafir. Ertinya dapat bantuan dan pertolongan atas dasar istidraj iaitu atas dasar kutukan dan kemurkaan Tuhan. Tuhan beri dengan tidak redha. Istidraj sebenarnya adalah satu tipuan dari Tuhan. Akhirnya nanti akan terjun ke dalam Neraka. Dengan kejayaan itu, mereka akan jadi sombong dan angkuh. Mereka akan berbuat maksiat dan kemungkaran di atas muka bumi. Ia akan rosak dan merosakkan. Di sini jelas bagi kita bahawa sifat taqwa itu bukan sahaja perlu di Akhirat tetapi perlu juga di dunia lagi. Orang kafir Allah menangkan dan Allah bagi kejayaan atas dasar quwwah (kekuatan lahir). Orang mukmin diberi kemenangan dan kejayaan atas dasar taqwa. FAKTA SEJARAH Mari kita lihat sejarah Rasulullah dan para Sahabat, selaku manusia yang luar biasa. Dalam peperangan, mereka berperang sebanyak tujuh puluh empat kali. Rasulullah sendiri ikut campur sebanyak dua puluh tujuh kali. Daripada tujuh puluh empat kali berperang, sekali sahaja jumlah tentera umat Islam lebih dari tentera kafir iaitu waktu perang Hunain. Selalunya tentera kafir lebih ramai dan senjata mereka lebih banyak. Tetapi selain dari peperangan Hunain, umat Islam sama ada menang atau menang tidak, kalah pun tidak. Umat Islam tidak kalah. Tetapi pelik, masa perang Hunain, umat Islam kalah. Sebab masa itu mereka sudah cacat dengan Tuhan kerana bergantung kepada jumlah yang ramai. Waktu peperangan Khandak, musuh 10,000 orang, tentera Islam 3,000 orang. Tuhan tidak benarkan 3000 orang lawan 10,000 orang. Tuhan datangkan tentera bukan manusia iaitu ribut dan petir sehingga tentera musuh lari lintang-pukang. Yang paling jelas adalah waktu perang Badar di mana 313 tentera Islam berhadapan dengan 1,000 tentera musuh. Malaikat turun seramai 3,000. Belum sempat tentera menebas, leher musuh sudah putus. Seolah-olah dalam perang itu, tenaga manusia tidak digunakan langsung. Malaikat yang buat kerja. Waktu zaman Sahabat pula, ketika pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab, berlaku peperangan di antara tentera Islam dan tentera Rom. Berbulan-bulan tidak menang dan tidak kalah. Ketua tentera Islam hantar surat kepada Sayidina Umar. Sayidina Umar pergi melihat. Dia tidak bercakap apa-apa tetapi membaca suasana. Setelah bergaul selama tiga hari dan setelah semuanya dinilai, dia pun panggil tentera Islam seraya berkata, “Saya sudah dapat rahsia kenapa kita tidak menang dan tidak kalah. Pertama, kerana sembahyang tidak lurus saf. Kedua, kerana tidak bersugi.” Padahal itu masih luaran. Masih tidak menafikan taqwa. Itupun tersangkut. Bersugi itu fadhilat, benda lahir yang tidak jejaskan taqwa tetapi kerana itu pun perang tidak menang dan tidak kalah. Bila dibetulkan itu semua, esoknya mereka pergi perang dan menang. Dalam satu kisah yang lain, pernah Sayidina Umar meng-hantar tentera ke Palestin. Ketua tenteranya bernama Sariya. Jarak Palestin ke Madinah sekitar seribu batu. Oleh kerana pemimpinnya bertaqwa, ketua tenteranya juga bertaqwa maka waktu tentera Islam dalam bahaya, Tuhan bantu secara ghaib. Allah lihatkan kepada Sayidina Umar kedudukan tentera Islam yang di dalam bahaya. Di belakang bukit ada tentera musuh hendak menyerang secara mengejut. Bila Sayidina Umar nampak, maka dia buat arahan supaya Sariya naik ke tempat yang tinggi. Sariya tidak nampak musuh tetapi Maha Besar Tuhan, Sariya dengar arahan Sayidina Umar dari mimbar masjid Madinah. Tentera Islam pun terselamat dari serangan mengejut. Hasil taqwa, datang bantuan Tuhan yakni Sayidina Umar diperlihatkan manakala Sariya didengarkan. Contoh ketiga ialah Salehuddin Al Ayubi. Setelah Palestin ditawan oleh umat Islam di bawah Sayidina Umar, ia kemudiannya jatuh ke tangan orang kafir selama dua ratus tahun sebelum dirampas semula oleh Salehuddin Al Ayubi. Di medan perang, di tengah malam, Salehuddin bangun melihat khemah tenteranya. Di kebanyakan khemah, tenteranya beribadah ma-lam tetapi ada satu khemah yang tenteranya tidur. Jadi selepas subuh dia berkata, “Saya sudah nampak kemenangan untuk kita. Dengan syarat khemah yang tidak bangun beribadah malam tadi, jangan pergi berperang. Takut terhijab.” Maka pergilah tenteranya berperang dan menawan Palestin. Itukan bantuan bersifat ghaib. Waktu Thariq Ibnu Ziad hendak menawan Sepanyol, waktu itu Rasulullah sudah wafat seratus tahun. Diceritakan dalam kitab, waktu hendak menyeberangi Selat Gibraltar, dia nampak Rasulullah yang telah lama wafat di depannya dengan pakaian tentera. Itu membuatkan tentera Islam menang. Kita hari ini hanya fikir yang lahir sahaja. Tidak fikir yang batin. Sebab itu kita terhina. Bila ada sifat taqwa, Tuhan bantu. Ada Sahabat, bila kehilangan unta, dia tidak kata, “Hai Tuhan, kembalikanlah unta aku.” Sebab dia tahu di kelilingnya ada ramai rijalulghaib. Jadi dia berkata, “Hai rijalulghaib, tolong tangkap balik unta aku.” Memang dia dapat semula unta itu. Bila ada sifat taqwa, macam-macam makhluk bantu kita. Kenapa tidak dibuat kajian? Dalam Quran jelas disebut: “Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu. ” (Al Baqarah: 282)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5 × five =