MENANAM BENIH TAQWA

Taqwa itu ada benihnya. Untuk ia memberi manfaat dan kebaikan, benih taqwa itu mesti ditanam hingga ia tumbuh menjadi pokok yang ada batangnya, dahan, ranting, daun, bunga dan akhir sekali buahnya. Buah taqwa itulah hasil yang boleh dinikmati di dunia dan di Akhirat. Kalau benih taqwa itu disimpan dan tidak ditanam maka ia tidak akan tumbuh. Maka tidak akan ada hasil atau buahnya untuk dinikmati. Benih akan hanya tinggal benih. Benih tidak akan berguna kepada sesiapa kalau ia tidak ditanam dan tidak tumbuh hingga mengeluarkan buah. Begitu juga kalau benih itu ditanam di tempat yang salah seperti di tanah yang tidak subur, di tanah berlumpur, di tanah berpasir atau berbatu. Pokoknya tidak akan tumbuh. Kalau tumbuh pun, ia tidak akan subur dan tidak akan menghasilkan buah. Rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan adalah benih taqwa. Bagaimanakah dapat kita tanam benih taqwa ini hingga tumbuh batangnya, dahan, ranting, daun, bunga dan buahnya. Kalau kita tidak pandai menanam benih taqwa ini, bagaimanakah kita hendak dapat pokok dan buahnya? Setelah kita faham rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan, termasuk rukun-rukun tambahan atau rukun dalam rukun di dalam rukun-rukun itu, macam mana hendak kita buat supaya ianya mendatangkan hasil. Supaya Islam kita itu rendang dan lebat buahnya. Dilihat indah dan orang gemar dan rindu padanya. Kalau Islam benar-benar ditegakkan atas dasar taqwa, ia akan kelihatan cantik dan indah. Orang kafir pun akan suka dan rindu dan tidak tertahan-tahan untuk masuk Islam. Orang kafir tidak akan menghina Islam kerana fitrah manusia itu tidak akan menghina sesuatu yang murni dan indah kecualilah orang kafir yang hasad dengki dan berfikir kalau dia masuk Islam, dia akan rugi. Untuk mempastikan benih taqwa itu ditanam sampai tumbuh dan melahirkan pokok dan buah, itulah kerja kita setiap hari. Dari bangun tidur hingga kita kembali tidur. Dalam kerja dan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita oleh kerajaan atau jemaah, sama ada sebagai pengarah, pegawai, pengurus, kerani, petugas, guru dan sebagainya di berbagai bahagian dan jabatan. Kalau kita bertanggungjawab, tidak curi tulang, tidak buang masa, kerja kita bersungguh-sungguh, ada kasih sayang, tetamu dan pelanggan dilayan dengan baik, berkerja pula di atas syariat Tuhan kerana takut dan cinta Tuhan, maka itu menanam benih taqwalah namanya. Ia akan melahirkan batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah taqwa. Itu baru tugas kita yang rasmi. Apatah lagi dalam apa yang kita buat di dalam hidup kita seharian yang berbentuk tidak rasmi. Di sini lagi banyak benih taqwa yang dapat kita tanam. Contohnya, kalau nampak sampah di premis, kita buang. Kita nampak duri, paku, serpihan kaca atau najis diperjalanan, kita buang. Kita mentadbir dan mendidik keluarga. Kita berjiran. Kita berkawan. Itu semua adalah menanam benih taqwa. CONTOH AMALAN SEHARIAN UNTUK MENANAM BENIH TAQWA Bila kita keluar berkereta setiap hari lepas subuh dan tiba di persimpangan jalan, hati kita berkata, “Di sini aku hendak dapat taqwa. Aku akan beri laluan kepada orang.” Itulah taqwa. Tetapi jika kita berkata, “Ikut undang-undang, ini aku punya laluan. Buat apa aku beri laluan pada orang lain.” Betullah itu kalau mengikut undang-undang. Tetapi kita tidak akan dapat taqwa sebab kita tidak mahu korbankan hak kita untuk orang lain. Kemudian kita terlihat pula ada orang berjalan kaki. Kita pun berkata, “Ini peluang untuk dapat taqwa.” Maka kita tumpangkan dia. Itulah taqwa. Kita tolong orang. Kita berkhidmat untuk orang. Kita hiburkan orang. Mungkin dia sudah letih dan sudah berjam-jam membuang masa menunggu bas. Kita jalan lagi. Kita angkat tangan kepada orang. Lebih-lebih lagi kita ucapkan, “Assalamualaikum.” Itu taqwa lagi. Di persimpangan jalan pun sudah berapa banyak amalan taqwa yang boleh kita buat. Kemudian, kita singgah di gerai untuk minum. Duit ada lebih sedikit. Kita belanja orang sebelah minum. Lagi besar dapat taqwa. Di gerai itu, ada nasi lemak, ada lauk ikan, lauk daging dan ayam. Dengan nasi lemak dan lauk-pauk itulah kita boleh dapat taqwa kalau kita jamu dan belanja orang makan. Tetapi pernahkah kita diajar begitu? Sanggupkah kita berbuat begitu? Tahukah kita bahawa itu taqwa? Sudah banyak kali kita dengar khutbah Jumaat, “Ittaqullah!” “Bertaqwalah kamu kepada Allah!” Tetapi tidak ada kefahaman dan penghayatannya. Umat Islam bukan sahaja dilarang bermusuh tetapi diminta berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Itulah batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah di atas benih taqwa. Bila bertemu orang yang kita tidak kenal, tersilap cara kita bercakap dengannya, kita minta maaf dan kita merendah diri kepadanya. Itulah taqwa. Bukan susah sangat hendak cari taqwa. Apabila orang pula bersalah dengan kita dan dia tidak meminta maaf, kita berkata pada Tuhan, “Saya hendakkan taqwa, maka saya maafkan orang itu.” Insya-Allah kita akan mendapat taqwa walaupun orang itu tidak meminta maaf. Ini yang digalakkan. Kita berjiran. Bila ada makanan lebih, kita beri kepada jiran. Kalau dia bersalah, kita maafkan dia. Kita jaga keperluannya. Dengan jiran pun sangat banyak sifat taqwa yang boleh kita miliki. Kalau kita terbuat salah, sama ada sedar atau tidak, kemudian ada kawan menasihati kita, maka kita berterima kasih kepadanya dan pada Tuhan. Itulah taqwa. Jangan pula kita marah, herdik atau menghina dia kerana menasihati kita. Itu sombong namanya. Bagaimana kita boleh jadi sombong walhal menerima nasihat itu adalah taqwa. Kita ke pasar membeli ikan. Kebetulan kita ada duit lebih. Apa salahnya kita belikan orang sebelah kita dua, tiga ekor ikan demi untuk mendapat taqwa. Peluang di depan mata kita tidak ambil. Kita hendak cari taqwa di surau dan di masjid sahaja. Benih taqwa boleh tumbuh di mana-mana bukan sahaja di surau dan di masjid. Benih taqwa boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pejabat, di sekolah, waktu bertemu dengan kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja. Dalam melaksanakan tugas rasmi dan tanggungjawab kita boleh dapat taqwa. Dalam membuat kerja tidak rasmi pun kita boleh dapat taqwa. Dalam kita menegakkan hablumminallah, iaitu sembahyang, puasa, baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat taqwa. Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat taqwa. Malahan peluang untuk mendapat taqwa di bidang hablumminannas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa. Dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesarbesarnya. Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok. Kesilapan Umat Islam Kini Kenyataan yang berlaku pada umat Islam hari ini, dari hidup sampai mati, ke mana pun dia pergi, dia hanya membawa benih taqwa sahaja. Benih itu tidak pun ditanam. Dia hanya membawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan. Tetapi itu semua tidak pernah diamalkannya betul-betul atas dorongan cinta dan takutkan Tuhan. Setiap hari ada peluang untuk melakukannya. Peluang yang Tuhan bagi untuk beramal selalu diabaikan dan disia-siakan. Adakah ini boleh menjamin keselamatan di Akhirat? Adakah kita rasa bila berjumpa Tuhan nanti kita akan selamat? Sedangkan yang kita bawa hanya benih yang belum ditanam dan belum menghasilkan buah. Apakah Tuhan akan terima? Di sinilah orang yang beribadah tertipu dan orang yang mengaji dan belajar pun tertipu. Dari hidup sampai mati, ke mana mereka pergi, mereka membawa benih sahaja. Sebab itu keindahan Islam tidak nampak dalam kehidupan kerana tidak ada pokoknya, tidak ada batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buahnya. Yang ada hanya benihnya sahaja yang belum pun ditanam. Kalaupun ada yang menanam benih taqwa ini, ditanam pula ditempat yang salah. Maka benih itu tidak tumbuh. Kalau tumbuh pun, ia terbantut dan lama-lama mati. Tidak tumbuh juga pokok taqwa. Itulah silapnya. Kita sudah diajar bahawa agama itu di surau dan di masjid sahaja. Kita sudah diajar hendak dapat taqwa di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar bahawa taqwa itu hanya sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, wirid, zikir, doa dan iktikaf di masjid sahaja. Ini adalah salah. Ini ajaran dan fahaman yang sempit. Ini sudah memisahkan agama dari kehidupan. Walhal bukankah agama itu Addeen atau cara hidup (way of life). Cara hidup tidak terhenti setakat di surau dan di masjid sahaja. Taqwa itu boleh didapati di mana-mana. Taqwa itu boleh didapati di dalam kehidupan. Taqwa itu ibarat intan berlian yang Tuhan taburkan dan campakkan ke dalam kehidupan. Taqwa itu merata-rata. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengutipnya. Hanya sama ada kita mahu atau tidak mahu sahaja. Kenapa kita hanya mahu mengutip intan berlian itu di surau dan di masjid sahaja? Bukankah surau dan masjid itu tempat yang kecil dan terhad? Padahal banyak lagi intan berlian yang bertaburan di dalam kehidupan di luar surau dan masjid. Ini kita tidak kutip. Bukankah ini membazir dan merugikan namanya? Pemimpin dan ulama menyarankan supaya umat Islam jadi kuat. Kita kena faham, kuatnya umat Islam itu mesti dengan taqwa. Umat Islam tidak boleh jadi kuat dengan quwwah (kekuatan lahir) semata-mata sama ada kekuatan yang berbentuk ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Taqwalah sumber kekuatan umat Islam yang sebenarnya. Umat Islam akan kuat apabila mereka kuat dengan Tuhan. Macam mana umat Islam hendak jadi kuat sedangkan pemimpin, ulama dan seluruh umat Islam dari atas hingga ke bawah tidak faham apa erti taqwa, tidak faham apa itu hakikat taqwa, tidak tahu kelebihan dan peranan taqwa dan tidak tahu bagaimana hendak mencapai dan mendapat taqwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1 × 2 =