Taqwa adalah punca keselamatan dan kebahagiaan dunia dan Akhirat. Tanpa taqwa, kita tidak akan selamat dan tidak akan bahagia. Kita tidak akan terpelihara dan tidak akan dapat berlindung dengan Allah. Kita akan terdedah kepada pelbagai serangan nafsu dan syaitan. Natijahnya, kita tidak akan sampai kepada Tuhan dan hasilnya sangat rosak dan merosakkan. Kalau taqwa tidak ada dan nafsu bermaharajalela, kesannya amat buruk sekali.

KESAN KE ATAS MANUSIA

Mari kita lihat beberapa contoh yang melibatkan beberapa golongan manusia:

1. Ulama

Bila taqwa tidak ada, para ulama akan dihinggapi oleh sifat-sifat atau penyakit-penyakit berikut:

a. Sombong atau ego

b. Ujub dan riyak

c. Hasad dengki

d. Susah untuk menerima kebenaran dari orang lain

e. Ingin berlawan terutama sesama ulama

f. Mempergunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan dunia, pangkat dan wang ringgit

g. Pemarah

h. Ingin dihormati (gila puji)

i. Kalau mampu, suka hidup bermewah-mewah.

Kalau hati tidak bertaqwa, maka mustahil akan kita temui mufti-mufti, tuan-tuan kadhi, ustaz-ustaz dan tuan-tuan imam yang merendah diri, yang merasai diri kurang, yang mengasihi orang lain sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri yang bersedia untuk ditegur walaupun oleh kanak-kanak, yang tidak suka menunjuk-nunjuk pandai dan kehebatan, yang menggunakan ilmu untuk kepentingan Allah dan kehidupan di Akhirat, yang mudah melupa dan memaafkan kesilapan orang lain, yang tidak suka dihormati dan dipuji kerana yang layak dipuji hanyalah Allah dan yang zuhud serta warak.

Bila tidak ada ulama yang bersifat begini, maka umat seolaholah ketiadaan lampu penyuluh. Tinggallah mereka dalam gelap-gelita. Tidak tahu halal haram, tidak kenal Quran dan Hadis, tidak kenal Allah dan alam Akhirat, tidak pandai membezakan akhlak baik dan akhlak buruk, tidak faham apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, juga tidak faham apa yang baik dan apa yang tidak baik. Maka hidup mereka tidak menentu. Kadang-kadang ke barat, kadang-kadang ke timur, terlanggar ke sana, terlanggar ke sini, terjunam ke lembah-lembah, tersungkur di jalanan dan macam-macam kacau-bilau lagi. Jarang dan mungkin tidak ada langsung umat yang selamat.

Maka jadilah apa yang sedang terjadi hari ini. Umat Islam tidak bertaqwa dan tidak ikut cara hidup Islam sepenuhnya. Kadang-kadang jadi macam Yahudi, macam Kristian, macam Hindu, macam Buddha, macam Hippies, macam Punk, macam Skinhead, ikut rock, ikut metal dan macam-macam lagi. Budaya dan tamadun Islam tidak ada dan tidak dapat dibangunkan dan diperjuangkan. Yang ada ialah budaya kuning, budaya campur aduk dan budaya kacau-bilau.

2. Pemimpin

Akibat ulama tidak bertaqwa maka mereka tidak dapat mendidik pemimpin atau penguasa agar jadi pemimpin yang bertaqwa. Bila pemimpin tidak bertaqwa, maka hatinya akan dikerumuni oleh nafsu-nafsu jahat. Antaranya ego, sombong, takabur, riyak, ujub, menzalim (diskriminasi), pilih kasih, gila kuasa, tidak adil, berburuk sangka, berhasad dengki terutama sesama pemimpin, menggunakan kuasa dan kepentingan untuk keuntungan dunia dan peribadi, menghukum sesuka hati, takut dengan rakyat sendiri, bersifat pemarah dan terlalu suka bermewah-mewah.

Kerana penguasa atau pemimpin tidak bertaqwa maka sukar sekali untuk kita mencari seorang menteri atau wakil rakyat atau presiden yang suka merendah diri dan merasa dirinya setaraf dengan orang lain. Tidak berbangga dengan kuasa, tidak rasa dirinya istimewa, berlaku adil dan berlemah-lembut, berbaik sangka, berkasih sayang sesama pemimpin, menggunakan kuasa untuk kepentingan Islam dan kehidupan di Akhirat, berhati-hati ketika menghukum, suka memaafkan dan hidup ala kadar iaitu sekadar memenuhi keperluan.

Bila hati pemimpin dan sikapnya sudah rosak, kotor dan jahat, maka sudah tentu pimpinannya akan turut rosak, kotor dan jahat sama ada mereka sedar atau tidak dan sama ada mereka mahu atau tidak. Pemimpin seperti ini bukan bekerja untuk menyelamatkan umat tetapi untuk mempertahankan kuasa. Buat kebaikan bukan secara rela tetapi terpaksa sebab takut dihukum atau dikata nista oleh rakyat. Dia berlaku zalim, kejam, bermewah-mewah dan berfoya-foya dengan maksiat dan kemungkaran.

Kalaupun ada pemimpin yang baik, yakni dia tidak buat semua itu, tetapi kalau tidak atas dasar taqwa, nescaya dia akan mencari juga kepentingan diri dan tidak tahan diuji. Dan ini akan membawa kepada seribu satu macam masalah kepada dirinya dan kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak bertaqwa boleh menjadikan rakyat berpecah-belah, bergaduh dan bersenget hati sesama sendiri. Bahkan di kalangan pemimpin pun sama, mereka berdendam dan berdengki.

Apakah alasan berlakunya semua ini? Adakah sebab eko-nomi tidak kukuh, sebab kebodohan rakyat, sebab kemajuan tidak seberapa atau sebab ilmu tidak ada. Sebenarnya semua ini disebabkan manusia-manusia yang tidak bertaqwa. Kalaulah masyarakat kita bertaqwa, nescaya Allah akan lepaskan kita dari sebarang kesulitan dan masalah dan akan menjadikan negara kita negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT.

3. Orang Kaya

Kalau orang kaya tidak bertaqwa maka jadilah hatinya penuh dengan sombong, ego, suka membazir, riyak, yakni suka menunjuk-nunjuk, menyalahgunakan harta seperti untuk mengumpan perempuan cantik, rasuah dan suka berlumba-lumba kekayaan terutama dengan orang yang sama-sama kaya. Dalam pada itu masing-masing saling kata-mengata.

Lihatlah hari ini mereka berbangga dengan rumah besar, kereta besar, harta banyak, perabot mahal dan lain-lain lagi. Mereka bercuti ke sana bercuti ke sini. Beli barang bukan di Malaysia tetapi yang diimport dari London, Paris dan sebagai-nya. Duit orang kaya lebih banyak daripada duit negara. Walhal mereka tahu bahawa masyarakat mereka miskin. Tabung perjuangan Islam sentiasa kosong malah terhutang-hutang. Negara tidak cukup duit untuk membiayai keperluan rakyat disebabkan orang kayanya berhati kejam dan sangat membazir. Dalam keadaan ini sampai bila pun manusia tetap akan berada di dalam keadaan tidak puas hati. Kecualilah, orang-orang kaya sanggup menjadi bank kepada rakyat, yang memberi pinjaman tanpa riba dan tidak minta dibayar di dunia. Sebab mereka faham bahawa kekayaan mereka Allah yang punya dan ia adalah pinjaman dari Allah, sekaligus sebagai ujian untuk melihat siapa yang sedar diri tentang asal-usulnya.

4. Orang Miskin

Orang miskin kalau tidak bertaqwa maka tidaklah selamat hatinya dari sifat-sifat yang buruk seperti tidak sabar dengan kemiskinan hingga sanggup mencuri, menyamun, menipu dan membunuh. Mereka sangat hasad dengki dan sakit hati dengan orang yang kaya dan berada. Keinginan untuk kaya sangatlah tebal hingga bila tidak kaya-kaya juga, mereka jadi putus asa dengan Allah. Hal-hal yang sedemikian itu menyebabkan berlaku berbagai jenayah dalam masyarakat. Rompak, samun, seluk saku, ragut dan lain-lain bentuk kecurian menjadi pekerjaan tetap yang mendatangkan pendapatan yang lumayan. Hingga kerana itu, ramai manusia hidup dalam ketakutan, kalau-kalau rumahnya pula dimasuki pencuri.

Padahal tidak sepatutnya perkara-perkara seperti ini berlaku dalam masyarakat umat Islam. Kerana orang mukmin yang bertaqwa kalau dia miskin dia redha dengan takdir. Dia tidak terseksa dengan kemiskinan di dunia demi mengharapkan kekayaan yang Allah janjikan di Akhirat.

5. Kaum Ibu dan Wanita

Kaum ibu atau wanita kalau tidak bertaqwa maka kerja mereka ialah mengumpat, bersolek untuk menunjuk-nunjuk pada orang lelaki, gila dunia yakni gilakan perabot, hiasan, gelang, pakaian hingga lupa pada Allah dan lupa pada Akhirat. Seorang isteri yang tidak bertaqwa tidak akan dapat melayan dan mentaati suami dengan baik disebabkan tidak ada pada mereka sifat merendah diri pada suami dan sifat memandang mulia pada suami. Mereka bebas untuk keluar rumah dan menyusun program sendiri tanpa memikirkan sangat apa kata suami.

Bila kaum ibu berada dalam keadaan begini maka rumah tangga bukan lagi gelanggang cinta dan kasih sayang di mana suami terasa seperti berada di dalam sebuah mahligai yang penuh dengan kebahagiaan dan ketenangan di samping anak-anak yang terdidik dengan kasih sayang, akhlak mulia dan ilmu yang berguna.

Oleh kerana semua manusia ini inginkan kasih sayang dan kebahagiaan maka jika rumah tidak dapat menyediakannya, tentu mereka akan cari kebahagiaan di luar. Lalu terjadilah apa yang telah dan sedang terjadi. Disko, karaoke dan tempat manusia mencari kasih dan kebahagiaan secara keji dan haram itu sering penuh, bahkan merupakan suatu perniagaan yang sangat menguntungkan. Ada yang menagih kebahagiaan dari dadah, dari arak dan dari segala hiburan-hiburan yang kotorkotor. Mereka menyangka itu semualah kebahagiaan hidup, tidak ada yang lain lagi walaupun mereka sedar bahawa melakukan semua itu bererti kehinaan dan kebinasaan hidup.

Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya seisi dunia ini adalah perhiasan. Dan perhiasan yang paling baik ialah wanita (isteri) yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Semua orang tertarik pada perhiasan. Apalagi kalau alat perhiasan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Jadi, kalau dalam sebuah rumah itu ada wanita solehah maka ahli-ahli rumah itu akan tertarik untuk sentiasa berada di rumah. Rumah adalah hiburan dan ketenangan bagi hati-hati mereka.

6. Pemuda dan Pemudi

Kalau pemuda atau pemudi tidak bertaqwa, maka jadilah mereka manusia yang suka berfoya-foya, bercinta-cintaan, berlagak ke hulu ke hilir dan menunjuk-nunjukkan diri. Bahkan mereka sanggup menjadi kutu jalan. Kalau ada kesempatan mereka akan mengorat tanpa malu bahkan ini sudah jadi permainan yang lumrah. Rasa iri hati, cemburu dan hasad dengki sesama sendiri bersarang penuh dalam hati-hati mereka. Semua dapat kita saksikan dalam lakonan hidup mereka. Mereka sering berangan-angan, khayal dan lalai dari tugas-tugas yang sepatutnya. Kes-kes zina di kalangan muda-mudi yang turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah sudah jadi perkara biasa dan seakan-akan mahu dibiarkan berterusan oleh masyarakat.

Mana ada satu sekolah yang muda-mudinya sedang mem-perjuangkan agama, bangsa, negara dan tamadun umat supaya kita jadi gagah dan mulia di mata dunia. Tidak ada. Yang ada hanyalah membina budaya lucah, gila harta, gila perempuan, gila pangkat dan saling berebutan hingga membuatkan jentera penggerak pembangunan tamadun kita jadi lemah dan lembab. Mereka tidak bekerja kalau bukan untuk makan gaji. Masa kosong dibuang di padang bola, bukan memikirkan projek pertanian, perindustrian dan lain-lain yang sungguh penting untuk kekuatan umat. Berapa kerat muda-mudi Islam yang dapat menunaikan sepenuhnya tuntutan sembahyang lima kali sehari itu? Maka sebanyak itu sajalah dari mereka yang dapat diharapkan. Selebihnya adalah pengganggu, perosak, pengacau dan penghalang perjuangan kebenaran.

Muda-mudi yang bertaqwa ialah orang-orang yang serius terhadap tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara. Mereka menyediakan tenaga, masa, fikiran dan semangat untuk tugas sebagai khalifah Allah di dunia. Mereka sanggup tinggalkan budaya liar, berfoya-foya, berlepak dan berlagak serta bergaya tidak menentu.

Begitulah jauh bezanya antara umat yang bertaqwa dan tidak bertaqwa. Kalaulah kita dapat capai maqam ini, insya-Allah negara kita akan menjadi negara yang aman makmur seperti yang kita laungkan dan idam-idamkan dan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (As Saba’: 15)

Incoming search terms:

  • kesan pemimpin yang tidak adil (2)
  • kesan prang yang tidak bersabar (2)
  • punca hati dihinggapi sifat keji (2)
  • akibat tidak bertaqwa (2)
  • akibat bagi orang ug taqwa (1)
  • kesan sampingan mifika (1)
  • kesan tidak bersifat sabar (1)
  • orang kaya bertaqwa (1)
  • orang yg tidak bertaqwa (1)
  • sebab penyakit gila cemburu iri hati dengki (1)
  • tidak bertaqwa (1)
  • kesan pemimpin tanpa iman (1)
  • kesan iri hati (1)
  • akibat bertaqwa (1)
  • akibat isteri tidak mentaati (1)
  • akibat tidak berlaku adil (1)
  • akibat tidak bertakwa kepada allah (1)
  • apa akibat bagi orang yang tidak bertaqwa? (1)
  • kesan buruk (1)
  • kesan buruk tidak bertawakal (1)