Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam, orang mukmin dan orang bertaqwa.  Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang yang beriman. Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.

Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk men-dapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar syahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang sudah bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam. Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa, lebih¬lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

TAMSILAN

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya. Kalau kita hendak buat misalan, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sa¬yuran. Orang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan ber¬ada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia jelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu lagi apa yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain lagi.

Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman itu. Dia sudah melihat keindahan taman. Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang ber-taqwalah yang paling tinggi.  Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara yang lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.

Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke uni-versiti. Dia baru daftar nama, belum belajar dan belum pusing¬pusing di kawasan universiti lagi. Bila diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pen¬daftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nam-pak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.

Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu diingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namun, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).

Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikat¬nya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namun, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur, “Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah yang banyak hanya menggambarkan kulit atau syariat atau Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa. Katalah seorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunat banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

KAITAN IMAN DENGAN TAQWA

Taqwa sering dikaitkan oleh Allah dengan iman. Bahkan taqwa bermula dari iman. Taqwa tumbuh dari iman. Iman adalah perkara asas yang perlu ditanam ke dalam hati seseorang ter¬lebih dahulu. Apabila iman yang ditanam itu sudah sejati baru¬lah akan lahir taqwa dalam diri seseorang. Orang yang beriman belum tentu bertaqwa. Tetapi orang yang bertaqwa sudah tentu dia beriman. Kerana iman itu berperingkat-peringkat. Tidak semua peringkat iman boleh menghasilkan taqwa.

PERINGKAT-PERINGKAT IMAN

1.           Iman taqlid

2.           Iman ilmu

3.           Iman ‘ayyan

4.           Iman haq

5.           Iman haqiqat

Iman Taqlid Dan Iman Ilmu

Iman orang yang bertaqlid atau iman turut-turutan atau iman ikut-ikutan, imannya adalah tepat iaitu dia percaya kepada Allah dan Rasul tetapi kepercayaannya tanpa dalil, tanpa keterangan dan tanpa ilmu pengetahuan. Orang begini tidak kuat dan tidak teguh imannya. Imannya mudah goyang dan goncang.

Begitu juga iman ahli ilmu. Imannya tepat. Tetapi walaupun keyakinannya kepada Allah dan Rasul dapat disokong dengan dalil-dalil, keterangan dan hujah-hujah namun iman peringkat ini baru sekadar sah. Jiwanya belum kuat sedangkan kekuatan seseorang itu adalah pada jiwanya. Iman seperti ini belum sanggup melawan syaitan dan hawa nafsu. Kerana itu orang yang peringkat imannya di tahap ilmu akan melanggar perintah Allah dalam sedar. Orang yang mempunyai iman ilmu hanya pandai berkata-kata kerana dia ada ilmu tetapi tidak dapat mengotakan kata-katanya. Mereka dalam golongan ini akan menjadi mukmin ‘asi (derhaka) atau mukmin yang fasik atau mukmin yang berpura-pura.

Orang mukmin seperti ini setakat boleh mengucap dua kalimah syahadah dengan lidahnya dan akalnya percaya adanya Allah Taala dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya. Tetapi dia belum dapat menanam kekuatan iman di dalam hatinya. Hatinya belum merasai yang Allah sentiasa melihat dan me¬merhatikan tingkah laku dan gerak-gerinya. Mukmin seperti ini, walaupun ilmunya tinggi melangit dan di dadanya penuh Al Quran dan Hadis, namun nafsunya masih besar. Sifat-sifat mazmumah seperti riyak, ujub, hasad, sombong, pendendam, bakhil, gila puji, gila pangkat dan lain-lain masih banyak bersarang di dalam hatinya dan syaitan pula sentiasa meng¬godanya.

Orang-orang mukmin seperti ini tidak sanggup menghadapi ujian-ujian hidup sama ada yang berbentuk kesenangan mahu¬pun yang berbentuk kesusahan. Ertinya, kalau dia berhadapan dengan kesenangan, dia akan lupa dirinya dan akan terus terjebak ke dalam perangkap nafsu dan syaitan. Manakala kalau dia berhadapan dengan kesusahan pula, dia akan cemas dan akan hilang daya pertimbangan. Dia akan bertindak di luar kehendak dan batas syariat.

Iman yang sejati itu, dari mana akan lahir taqwa, setidak-tidaknya adalah peringkat iman ‘ayyan iaitu iman orang yang cukup yakin dengan Allah dan Rasul, lengkap dengan pengertian dan fahamannya serta diikuti dengan tindak-tanduk dan per¬buatan.

Orang yang beriman taqlid perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman ilmu dengan cara belajar dan menambah ilmu. Orang yang beriman ilmu pula perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman ‘ayyan dengan cara mengamalkan ilmu-ilmu yang diketahuinya dengan faham dan khusyuk.

Penjelasan Tentang Iman ‘Ayyan

Ini iman orang yang soleh atau iman ashabul yamin atau iman golongan abrar iaitu orang yang sentiasa sedar bahawa Allah Taala sentiasa mengawasi dirinya. Dengan kata-kata lain, orang yang memiliki iman ‘ayyan hatinya sentiasa dapat merasakan kehebatan Allah. Dia ada hubungan hati dengan Allah. Kalau pun ada lupa dan lalainya kepada Allah, ianya terlalu kecil dan sedikit. Kerana itu, orang yang memiliki iman ‘ayyan ini adalah orang yang sentiasa takut kepada Allah dan kuat sekali penye¬rahan dirinya kepada Allah. Kalau iman ilmu, keyakinan cuma bertempat di fikiran, tetapi iman ‘ayyan, keyakinan bertempat di hati.

Ini digambarkan dalam sepotong ayat Al Quran:  Maksudnya: “Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan di masa berbaring dan mereka sentiasa memikir tentang kejadian langit dan bumi lantas mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Tidak Engkau jadikan semua ini sia-sia’.” (Ali Imran: 191)

Iman ‘ayyan mampu memacu umat ini menjadi umat yang gigih dalam memikul beban perintah Allah SWT. Iman ‘ayyan juga merupakan benteng yang kukuh yang melindungi umat dari terjebak dan terjerumus kepada berbagai anasir negatif, kemungkaran dan kemaksiatan. Iman ‘ayyan menjadikan seseorang itu memiliki kekuatan jiwa, gigih, kuat cita-cita, tahan diuji dan sanggup berkorban.

Oleh kerana orang mukmin yang sejati itu, perasaan ber-tauhid menghayati jiwanya, maka dia sentiasa takut dengan Allah malah rasa takutkan Allah itu bergelora di hatinya. Orang seperti ini sahajalah yang boleh tunduk kepada syariat Allah Taala. Firman Allah SWT:

Maksudnya:“Hanya sanya, orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, ber-tambahlah mereka beriman dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Al Anfal: 2)

Sikap orang mukmin yang sejati itu, apabila Allah Taala mendatangkan hukum-hakam dan peraturan hidup, dia tidak akan memilih-milih mana yang sesuai mengikut kehendak nafsunya dan menolak mana yang bertentangan dengan kehendak nafsunya. Orang mukmin yang sejati tidak menyoal dan tidak mempertikai hukum Allah dan bersikap lurus dalam melaksanakan hukum Allah atau dalam meninggalkan la¬rangan-Nya walau apa pun yang terjadi. Dia akan terus melak¬sanakan perintah Allah tanpa ragu oleh kerana jiwa tauhidnya berakar umbi di dalam hati. Dia patuh dan akan memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap segala perintah Allah.

Firman Allah Taala: Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum di antara mereka, mereka ucapkan, “Kami dengar dan kami patuh”. (An Nur: 51)

Berbeza dengan orang yang tidak takut dengan Allah, dia akan memilih-milih hukum Allah di dalam perlaksanaannya. Dia akan mengamalkan sesetengahnya dan meninggalkan sesetengahnya pula. Inilah sikap orang yang bukan mukmin sejati. Dia Allah golongkan ke dalam golongan orang yang sesat akibat dari sikapnya yang memilih-milih itu.

Firman Allah SWT:  Maksudnya: “Tidak dianggap orang mukmin yang se¬benar sama ada lelaki mahupun perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya mendatangkan sesuatu perintah, bahawa mereka mahu memilih pada urusan mereka dan siapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka telah sesatlah dia dengan amat nyata.” (Al Ahzab: 36)

IMAN HAQ DAN IMAN HAQIQAT

Iman yang paling baik ialah iman haq dan iman haqiqat. Ini adalah merupakan kemuncak iman iaitu iman bagi orang-orang yang hampir dengan Allah atau apa yang dinamakan sebagai golongan muqarrabin. Ia bukan lagi setakat iman sejati tetapi adalah iman yang sebenar dan iman yang sempurna. Orang yang memiliki iman haq dan iman haqiqat adalah orang yang sangat bertaqwa dan kuat penyerahan dirinya kepada Allah.

Incoming search terms:

  • taqwa dalam islam (16)
  • beza peringkat peringkat iman (3)
  • perbezaan iman dan taqwa (2)
  • Urutan takwa dalam islam (1)
  • perbezaan di peringkat peringkat iman (1)
  • perbedaan mukmin dan takwa (1)
  • menjadi mukmin yang sedar (1)
  • mengapa orang yang beriman belum tentu bertaqwa (1)
  • maksud mukmin asi (1)
  • kata kata taqwa islam (1)
  • kaitan iman dan taqwa (1)
  • Islam tapi belum menjadi mukmin (1)
  • islam iman mukmin (1)
  • islam dan mukmin (1)
  • iman sejati islam (1)
  • cara orang mukmin (1)
  • video untuk kaitkan dengan sifat 20 (1)